Kalau peneroka Felda berhutang, mana penyatanya?

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - “Betul ke peneroka Felda berhutang? Kalau berhutang, mana penyatanya?”

Persoalan itu dilontarkan Penasihat Pertubuhan Suara Generasi Baru Felda (SGBF), Datuk Zulkefli Nordin yang memaklumkan sehingga kini pihaknya tidak menerima penyata hutang peneroka Felda yang telah dimuktamadkan.

Menurutnya, mereka ada menerima penyata tersebut pada tahun 2016 namun ia bukanlah penyata hutang yang telah dimuktamadkan sebaliknya beliau melabelkannya sebagai ‘penyata hutang tergesa-gesa’.

“Pernah bagi pada 2016, setelah kami menjerit-jerit, dia (Felda) ada bagi penyata hutang tapi penyata hutang itu adalah penyata yang dibuat secara tergesa-gesa setelah kami protes banyak kali, minta banyak kali.

“Memang dia bagi penyata yang tergesa-gesa sampai ada istilah panggil penyata hutang politik, itu masa zaman BN.

“Bila dah ke zaman PH, sepatutnya kalau kita nak cerita pasal pelupusan hutang (hutang peneroka Felda), kita perlu bercakap tentang mana penyata hutang?” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, beliau mahu tahu berapakah jumlah sebenarnya hutang peneroka Felda kerana jika berlandaskan penyata diterima mereka pada 2016, ia bukanlah penyata hutang yang telah dimuktamadkan.

“Penyata hutang yang diberi pada 2016 boleh dikelaskan sebagai penyata hutang yang tergesa-gesa. Dalam penyata itu ada pelbagai jumlah, bila kena force (paksa), kena tekan jadi kata Felda akan keluarkan penyata pada 2016.

Artikel Berkaitan:

“Bila keluar, tunjuk kepada kami dan kami tengok penyata hutang itu meragukan. Saya terus-terang cakap kalau siapa berjanji nak lupuskan hutang, saya ketawa sahaja kerana di mana penyatanya,” ujarnya.

Katanya lagi, jika berbicara berkenaan hutang peneroka Felda, hanya satu isu mahu dibangkitkannya iaitu ‘di manakah penyata hutang peneroka’.

“Kalau tanya saya, ada berjanji nak hapuskan 15 peratus hutang, lepas itu ada janji dari orang lain. Saya nak tanya satu soalan sahaja, mana penyata hutang? Itu saja isunya sekarang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengatakan kerajaan tidak akan menghapuskan semua hutang peneroka Felda.

Menurutnya, hutang tersebut hanya akan dihapuskan oleh agensi berkenaan berdasarkan perkara tertentu seperti dalam konteks ‘hutang tidak wajar’.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!