PKP tak halang Alam Flora teruskan kempen 3R
KUALA LUMPUR - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19) tidak menjadi halangan kepada Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) bagi menganjurkan Pertandingan Reka Fesyen Waste Is Amaze 2020 yang masuk tahun ke-8 dengan kaedah norma baharu.
Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd Zain Hassan berkata, pertandingan itu disiarkan secara langsung menerusi platform media sosial Alam Flora dan juga anak syarikat Alam Flora, DRB-Hicom Environmental Service (DHES) telah ditonton oleh para netizen di seluruh Malaysia dan juga di serata dunia.
Katanya, usaha itu merupakan langkah proaktif dan selamat oleh Alam Flora dalam menyambung usaha membudayakan amalan 3R (Reduce, Reuse, Recycle) dalam kalangan masyarakat di samping menyokong seruan kerajaan mengelakkan penganjuran program secara terbuka di tempat awam.
"Pertandingan seperti ini bukan sahaja telah menarik perhatian ramai peserta golongan muda untuk bertanding, malah ia melahirkan bakat-bakat baru dalam bidang rekaan fesyen, terutama fesyen busana dari bahan-bahan kitar semula.
"Ini secara tidak langsung memberi impak yang positif kepada industri fesyen tanah air. Program ini juga selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang bukan hanya memfokuskan agenda alam sekitar (SDG 13), malah ia juga menyentuh tentang kesejahteraan komuniti (SDG 11),"katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bertemakan Plastic Couture, pertandingan itu telah dimenangi oleh Norfarizan Jawahir (juara) diikuti Muhammad Hafiz Zakaria (kedua) dan Mohammad Izzwan Abdul Rahman (ketiga) sekali gus menewaskan 17 lagi pereka fesyen yang dipilih sebagai peserta.
Mohd Zain berkata, pemilihan awal telah dibuat oleh jawatankuasa pertandingan memandangkan Alam Flora telah menerima lebih 100 penyertaan pada tahun ini.
"Peserta-peserta yang bertanding adalah dari pelbagai latar belakang termasuk pelajar-pelajar kolej, guru sekolah, pensyarah, eksekutif dan juga tidak ketinggalan daripada suri rumah,"katanya.
Juara pertandingan membawa pulang wang tunai RM1,000, 1,000 mata ganjaran Petronas Mesra dan e-sijil penyertaan manakala pemenang kedua pula akan menerima wang tunai RM500, 500 mata ganjaran Petronas Mesra dan e-sijil penyertaan dan tempat ketiga wang tunai RM300, 300 mata ganjaran Petronas Mesra dan e-sijil penyertaan).
Peserta tempat ke-empat hingga 20 menerima 200 mata ganjaran Petronas Mesra dan e-sijil penyertaan.
Media Sosial Terbaik pula akan menerima 500 mata ganjaran Petronas Mesra dan e-sijil penyertaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!