Genap sebulan Pok Malik hilang

Antara gambar yang sempat dirakam Hazizah bersama suaminya, Abdul Malik yang hilang sejak 21 Mei lalu.
Antara gambar yang sempat dirakam Hazizah bersama suaminya, Abdul Malik yang hilang sejak 21 Mei lalu.
A
A
A

KEMAMAN – “Dah puas saya cari, macam-macam cara saya gunakan tetapi suami saya masih belum ditemui,” luah isteri kepada warga emas, Abdul Malik Daud, 67 yang hilang sejak 31 hari lalu dari kediamannya, di Felda Neram 2, Bandar Cheneh Baru, Chukai, di sini.

Menurut Hazizah Jusoh, 64, walaupun harapan untuk menemui suaminya semakin tipis, dia tidak putus berdoa supaya suaminya ditemui.

“Dah sebulan dia hilang, masih tak ada sebarang khabar berita. Dah puas cari satu Felda, dalam akhbar dah siar kisah kehilangan dia namun sampai sekarang tak ada sebarang perkembangan.

“Saya juga ada guna cara tradisional, buat solat hajat tetapi dia masih belum ditemui. Saya pasrah dan reda dengan apa sahaja ketentuan ALLAH SWT. Biar macam mana sekali pun keadaan, asalkan dia ditemui,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Menurut Hazizah, suaminya yang lebih dikenali sebagai Pok Malik tidak pernah keluar rumah seorang diri kerana dia menghidap darah tinggi dan penyakit saraf.

“Sebelum ni dia tak pernah ke mana-mana seorang diri. Sehingga pada waktu bersahur sekitar jam 5 pagi, pada 21 Mei lalu saya dan seorang anak perasan dia tiada di rumah. Waktu tu kami panik dan terus membuat laporan polis,” katanya.

Operasi SAR bagi menjejaki warga emas itu turut menggunakan khidmat empat anjing pengesan dari milik bomba dan polis.
Operasi SAR bagi menjejaki warga emas itu turut menggunakan khidmat empat anjing pengesan dari milik bomba dan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari, hari ini membabitkan 160 anggota keselamatan dengan dibantu pelbagai agensi dan penduduk kampung.

Artikel Berkaitan:

Operasi terbabit melibatkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, Balai Polis Chukai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheneh Baharu, BBP Chukai, BBP Kemaman, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Jabatan Penjara Marang dan Unit Amal Pas Kawasan Kemaman.

Menurutnya, operasi itu turut menggunakan khidmat empat anjing pengesan milik bomba dan polis.

“Operasi pencarian yang merangkumi 10 kilometer radius ini dipecahkan kepada 10 kumpulan iaitu lokasi pencarian diluaskan termasuk di kawasan ladang, semak dan hutan.

“Bagaimanapun, sehingga jam 5 petang tadi, mangsa masih belum ditemui,”katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!