Lima program besar atasi miskin bandar, hilang kerja

Tan Sri Annuar Musa (kiri) bersama-sama menikmati buah durian dengan golongan gelandangan yang menjalani kursus 'Latihan Pembangunan Sahsiah Diri' di Casa Villa dekat Kampung Sungai Soi, hari ini. - Foto Bernama.
Tan Sri Annuar Musa (kiri) bersama-sama menikmati buah durian dengan golongan gelandangan yang menjalani kursus 'Latihan Pembangunan Sahsiah Diri' di Casa Villa dekat Kampung Sungai Soi, hari ini. - Foto Bernama.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan menerusi Kementerian Wilayah Persekutuan akan melaksanakan lima program berskala besar bagi membantu menyelesaikan masalah miskin bandar dan kehilangan kerja, kata Menterinya, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, pengumuman program itu dijadualkan dibuat secara berperingkat mulai minggu hadapan menunjukkan kerajaan mendengar dan prihatin kepada permasalahan rakyat khususnya golongan miskin bandar.

Selain itu, Annuar berkata, beliau juga akan bertemu dengan pengusaha dan pemilik firma atau syarikat kontraktor besar pada Selasa ini, untuk berbincang mengenai peluang pekerjaan yang boleh ditawarkan oleh mereka kepada rakyat tempatan di Wilayah Persekutuan.

"Sebelum ini kita hanya meluluskan pelan dan mereka yang menentukan siapa yang hendak diambil bekerja termasuk pekerja asing. Tetapi dalam keadaan pasca wabak koronavirus (Covid-19), kita lihat ramai yang hilang kerja atau jatuh miskin kerana tidak dapat meneruskan perniagaan seperti biasa.

"Apa yang kita cuba lakukan ialah membantu mereka supaya syarikat ini secara sukarela menyenaraikan jumlah pekerja yang mereka perlukan dan jika boleh, kita minta keutamaan diberikan kepada warga tempatan yang benar-benar memerlukan kerja itu," katanya.

Annuar berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau keadaan 44 gelandangan dari Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur yang sedang menjalani rawatan di Drugs Intervention Community Malaysia di Sungai Soi di sini, hari ini.

Beliau juga optimis pertemuan itu dapat menawarkan lebih 5,000 peluang pekerjaan dan selain sektor pembinaan, kementeriannya juga meninjau peluang untuk mereka yang mencari kerja melibatkan diri dalam bidang perniagaan atau penjajaan.

"Kita akan cuba permudahkan untuk mereka yang ingin bekerja atau berniaga kerana sebelum ini, banyak peluang berniaga diambil warga asing sehinggakan ada antara mereka menjadi kaya-raya di sini. Seharusnya, peluang itu diberikan kepada rakyat tempatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai lawatan itu, Annuar berkata semua gelandangan terlibat secara sukarela menawarkan diri untuk menjalani rawatan mulai pertengahan bulan ini, untuk tempoh sehingga tiga bulan dengan kos dibiayai kementeriannya.

Proses pemulihan itu, menurut Annuar perlu dilakukan sebelum mereka boleh mengubah kehidupan sama ada dengan mencari kerja atau mengikuti kelas kemahiran sebagai persediaan untuk kembali kepada masyarakat. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!