Masih ada peluang anak tempatan menyinar di bumi asing
ADAKAH pemain Malaysia menepati jangkaan pasaran bermain di pentas Eropah?
Itulah yang selalu bermain dalam benak fikiran peminat-peminat bola sepak tempatan. Spekulasi pemain tempatan dikaitkan dengan pasukan dari Eropah bukan satu isu baharu.
Mungkin kali terakhir kita mendengar kelibat anak kelahiran Malaysia bermain di pentas Eropah ketika Lim Teong Kim menyarungkan jersi Hertha BSC pada tahun 1987.
Tidak lupa juga penghijrahan Akmal Rizal Rakhli ke Perancis turut berada dalam fikiran peminat selepas anak jati Kedah itu mewakili RC Strasbourg pada tahun 1999.
Sejak itu, ada beberapa pemain mulalah dikaitkan dengan beberapa Eropah tetapi malangnya tidak semua menjadi seperti yang diharapkan.
Siapa tak bangga jika ada anak tempatan berjaya stabil bersama kelab Eropah? Sebut saja nama kelab besar seperti Liverpool, Manchester United atau Bayern Munich, penulis yakin peminat sentiasa mendoakan ia menjadi kenyataan.
Sebenarnya, usaha untuk eksport produk tempatan ke luar negara diusahakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sendiri sejak sekian lama.
Sebut saja nama Nazmi Faiz Mansor, Wan Zack Haikal Wan Nor atau Safiq Rahim, penulis percaya kisah ketiga-tiga pemain itu tidak perlu dicerita panjang lagi.
Bagaimanapun, seorang demi seorang pemain bagaikan tidak menjadi dan akhirnya pulang ke tanah air menabur bakti bersama kelab negara.
Secara peribadi, penulis tetap mahu memuji semua pemain yang telah berhijrah ke luar negara dan walaupun mereka mungkin bermain sekejap bersama kelab berkenaan, sekurang-kurangnya mereka berani membuat keputusan melebarkan karier.
Namun, detik yang dinanti tidak kunjung tiba. Sebaliknya, cemburu tidak terkata apabila pemain negara jiran seperti Thailand telah mula mencipta nama di beberapa negara gergasi bola sepak dunia seperti Jepun, England dan Sepanyol.
Namun, penulis percaya peluang itu masih terbuka kepada pemain tempatan di mana anak-anak muda negara semakin mendapat perhatian dalam global bola sepak dunia.
Penulis percaya kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam Liga Juara-Juara Asia akan membuka jalan kepada anak tempatan memasang impian bermain di luar negara.
Tidak lupa juga pasukan kebangsaan akan menjadi medan tumpuan di mana Harimau Malaya perlu lebih gah di pentas antarabangsa jika mahu memastikan kita berada dalam radar gergasi bola sepak dunia.
Akhir kata, penulis berharap impian menyaksikan pemain tempatan menyarung jersi kelab Eropah menjadi kenyataan, sekali gus mendukung nama baik Malaysia di persada dunia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!