Tak kesal tinggalkan The Blues
BEKAS penyerang Chelsea, Jeremie Boga menegaskan dia tidak menyesal meninggalkan Stamford Bridge untuk menikmati musim gemilang bersama Sassuolo dalam saingan Serie A.
Penyerang berusia 23 tahun itu berkata, dia membuat pilihan tepat berhijrah ke saingan Serie A yang disifatkan bersesuaian dengan aspirasinya sebagai pemain bola sepak.
Menurut bekas pemain akademi Chelsea itu, dia hanya sempat membuat satu penampilan bersama skuad The Blues itu.
"Saya hanya sempat beraksi sekali dengan skuad senior Chelsea sebelum ini.
"Saya tidak menyesal (tinggalkan Chelsea) dan rasanya ini adalah keputusan terbaik yang saya pernah lakukan.
"Bagi saya Serie A sesuai dengan saya dan saya menikmati musim yang terbaik sepanjang karier saya setakat ini," katanya.
Untuk rekod, Boga telah menjaringkan lapan gol selain empat assosts dalam 25 penampilan di Serie A, setakat ini.
Sementara itu, Boga dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan baharu khususnya Inter Milan dan Juventus biarpun memiliki kontrak dengan Sassuolo sehingga 2022.
Bagaimanapun menurut Boga, dia langsung tidak memikirkan untuk kembali beraksi bersama Chelsea.
"Saya bersedia untuk cabaran baharu. Namun, belum ada apa-apa yang muktamad setakat ini.
"Saya telah bercakap dengan jurulatih Roberto De Zerbi untuk lebih memahami keadaan kerana saya bersedia untuk mengharungi cabaran baharu sama ada di Itali atau di tempat lain atau mungkin terus beraksi bersama Sassuolo," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!