PRK Chini: Tengku Zainul Hisham bermesra dengan masyarakat

Tengku Zainul Hisham (tengah) cuba memasak roti canai pada sesi turun padang bertemu rakyat pagi tadi.
Tengku Zainul Hisham (tengah) cuba memasak roti canai pada sesi turun padang bertemu rakyat pagi tadi.
A
A
A

PEKAN - Calon Bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Datuk Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin berada di pasar tani kekal Chini seawal pagi, hari ini untuk bertemu peniaga dan masyarakat setempat.

Beliau memilih pendekatan bersemuka dan bermesra dengan masyarakat terutama pengunjung pasar sebagai memulakan hari pertama kempen beliau bagi PRK Chini, pada 4 Julai ini.

Tengku Zainul Hisham berkata, bagaimanapun pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) tetap dipraktikkan dalam kempen beliau dengan mengambil kira situasi normal baharu ketika ini akibat penularan wabak koronovirus (Covid-19).

"Rasa janggal itu ada sikit-sikit tapi Alhamdulillah kita akan cuba ikut dan patuhi semua SOP daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam berkempen.

"Hari ini, saya berkunjung ke pasar, kedai-kedai dan beberapa kawasan lain-lain semata-mata mahu mendengar sendiri apa masalah yang membelenggu mereka yang mungkin boleh saya suarakan sekiranya mendapat mandat," katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai lawatan di pasar tani kekal di bandar Dara, hari ini.

Memilih logo rumah sebagai lambang rasmi dirinya dalam PRK itu, Tengku Zainul Hisham menyifatkan beliau seorang yang mudah didampingi dan bersedia ​​​​​mendengar masalah dihadapi masyarakat setempat.

Menurutnya, beliau sentiasa turun bertemu rakyat di Chini sebelum ini bagi mendengar keluh kesah mereka.

"Kalau tidak bertanding pun saya tetap datang walaupun ketika itu saya bukan calon. Saya turun padang kerana suka bantu dan tolong masyarakat setempat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!