Pengundi taruh harapan tinggi wakil rakyat baharu

Mad Saat
Mad Saat
A
A
A

KUANTAN - Pengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini meletakkan harapan tinggi terhadap wakil rakyat baharu nanti supaya memiliki kewibawaan hebat bagi menggantikan tempat Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun.

Rata-rata pengundi yang ditemui Sinar Harian mahukan wakil rakyat yang terpilih kelak bukan sahaja mudah didekati tetapi mampu memberi perkhidmatan lebih baik daripada arwah Abu Bakar.

Ketua Kampung Felda Chini 5, Mat Saat Hasan, 64, misalnya berkata, pengundi di Chini mahukan wakil rakyat yang dapat meneruskan tugas-tugas pemimpin terdahulu yang masih terbengkalai sehingga kini.

Menurutnya, pemilihan wakil rakyat yang mampu menggalas tanggungjawab itu akan dinilai sepanjang 14 hari berkempen.

"Kita mahu pemimpin yang lebih baik daripada arwah Abu Bakar. Kalau boleh wakil rakyat baharu nanti mampu meneruskan kerja-kerja terbengkalai sebelum ini,"katanya.

Bagi pengurus Felda Chini 5, Zulkepli Abdullah, 55, pula mengharapkan wakil rakyat yang baharu nanti dapat meneruskan perkhidmatan kepada rakyat seperti wakil rakyat terdahulu atau lebih baik daripada beliau.

Katanya, perkhidmatan yang diberikan perlu lebih baik daripada arwah Abu Bakar tanpa meminggirkan pembangunan penduduk di Chini.

Artikel Berkaitan:

Arazami
Arazami

"Hendak cari pemimpin sama seperti arwah sukar sebab ada pepatah kata 'yang patah hilang berganti' tu mudah tapi yang diganti kena cari yang betul-betul itu susah. Diharapkan supaya wakil rakyat yang menang nanti setara dengan kewibawaan arwah pun sudah cukup baik," katanya.

Sementara itu Arazami Din, 50, berkata, wakil yang bakal dipilih nanti diharap mesra rakyat dan berjiwa kemasyarakatan selain dapat memperjuangkan nasib generasi kedua Felda.

"Kami mengharapkan pemimpin yang dipilih pengundi nanti akan memberikan komitmen yang lebih baik kepada pengundi di sini.

"Kami juga inginkan seorang pemimpin yang tak perlu terlalu protokol. Kami nak yang 'low profile'. Boleh menyantuni pengundi di sini seperti biasa," katanya.

Bagi anak jati Felda Chini 3, Norazura Mohd Ali, 43, pengundi mahu wakil rakyat yang menggantikan arwah memiliki kewibawaan sebagai seorang pemimpin sejati.

"Kalau boleh saya mahu wakil rakyat memahami kehendak golongan peneroka," katanya.

Zulkepli
Zulkepli

Pada PRK Chini bakal berlangsung 4 Julai ini, calon Barisan Nasional (BN) Mohd Shahrim Md Zin bertanding secara tiga penjuru dengan dua calon Bebas, Datuk Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!