'Kebajikan pengusaha industri pelancongan terabai'
SHAH ALAM - Persatuan Pemandu Van Kuala Lumpur dan Selangor kesal dengan Kementerian Seni, Budaya dan Pelancongan yang didakwa mengabaikan kebajikan pengusaha industri pelancongan.
Pengerusinya, Simon Sim berkata, pihaknya sudah mengemukakan cadangan berhubung 'driver guide' pada tahun lepas dan banyak kali mengemukakan surat kepada kementerian berkenaan namun setakat ini belum ada maklum balas meyakinkan.
"Kami kecewa atas keangkuhan pihak kementerian yang tidak membuat sebarang tindakan atas perkara tersebut sehingga kini. Kerajaan telah mula memberi kelonggaran dalam pelancongan domestik, namun pihak kementerian tidak membantu pengusaha selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan seharusnya memberi sokongan insentif kepada para pengusaha, misalnya kosong peratus faedah pinjaman, memansuhkan yuran pembaharuan lesen syarikat dan cukai jalan kenderaan di bawah pendaftaran syarikat.
"Pihak kami turut menerima aduan daripada pemandu pelancong bahawa masih ada yang belum terima bantuan one-off RM600 dan perkara ini perlu diambil tindakan sewajarnya oleh kerajaan," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Beliau percaya industri pelancongan dijangka beransur pulih menjelang tahun 2021.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!