Muafakat Nasional jadi sandaran menang PRU15

Peluang Perikatan Nasional (PN) untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) cerah sekiranya gabungan Muafakat Nasional antara UMNO dan Pas diteruskan. -Foto Bernama
Peluang Perikatan Nasional (PN) untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) cerah sekiranya gabungan Muafakat Nasional antara UMNO dan Pas diteruskan. -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Peluang Perikatan Nasional (PN) untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) cerah sekiranya gabungan Muafakat Nasional antara UMNO dan Pas diteruskan.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, bagaimanapun isu penubuhan struktur rasmi PN perlu dimuktamadkan bagi memastikan perebutan kerusi tidak berlaku sekiranya PRU15 diadakan.

“Saya fikir sekiranya Muafakat Nasional diteruskan, tiada masalah untuk PN menang (PRU15). Cuma kita lihat apabila gabungan dua parti itu ditambah dengan PN, saya kira isu perebutan kerusi akan berlaku.

“Kalau Muafakat Nasional yang melibatkan UMNO dan Pas misalnya dari segi kerusi Melayu tidak menjadi masalah sebab Pas lebih sinonim dengan kerusi di Pantai Timur dan di Pantai Barat pula lebih didominasi UMNO. Kesimpulannya, kerjasama Muafakat Nasional lebih mudah diatur dan dirancang berbanding PN.

“Jadi, apabila PN terbentuk, penguasaan UMNO (khususnya bagi kerusi Melayu di pantai barat) akan terjejas kerana kedua-dua parti fokus kepada kerusi Melayu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Beliau berkata, peluang menyatukan UMNO dan Bersatu dalam masa yang singkat khususnya bagi menghadapi PRU15 agar sukar diterima akar umbi kedua-dua parti kerana masing-masing mempunyai perjuangan berbeza.

“Jadi untuk menyatukan (UMNO dan Bersatu) agak sukar kerana ia akan merugikan Bersatu di mana mereka akan ditelan dan mempunyai nasib yang sama seperti parti Semangat 46,” katanya.

Beliau juga menjangkakan PN mengadakan PRU15 sebelum atau pada Mac 2021.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, PN pastinya tidak mahu melaksanakan PRU15 selepas daripada tempoh itu memandangkan undi 18 tahun akan diwartakan pada Julai tahun depan.

“Mereka (PN) pastinya tidak mahu undi 18 tahun itu kerana kemungkinan ia menyebabkan ketidakstabilan dari segi sokongan,” katanya.

Sementara itu, Felo Penyelidik, Institut Kajian Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia, Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri berpandangan, PN mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi PRU15 berdasarkan hala tuju mengurus negara yang baik serta kelicinan pentadbiran jemaah menteri pada hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, PN harus dimuktamadkan dari segi urusan pendaftarannya secara formal sebagai sebuah parti.“PN masih tidak mampu didaftarkan sebagai sebuah parti akibat Muafakat Nasional yang belum menerima pendaftaran rasmi parti PN,” katanya.

Katanya, Muafakat Nasional dan PN perlu menyelesaikan perkara tersebut sekiranya ingin memenangi PRU15 dengan selesa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!