Kes amuk di UK diisytihar 'insiden keganasan'

Sebuah apartmen di Reading, barat London dipercayai menjadi tempat tinggal suspek yang diserbu pihak berkuasa semalam. FOTO: AFP
Sebuah apartmen di Reading, barat London dipercayai menjadi tempat tinggal suspek yang diserbu pihak berkuasa semalam. FOTO: AFP
A
A
A

LONDON - Polis di United Kingdom (UK) hari ini memaklumkan insiden amukan yang meragut tiga nyawa di sebuah taman di bandar Reading, England diisytiharkan sebagai 'insiden keganasan'.

Polis Lembah Thames dalam satu kenyataan turut mengesahkan perkara tersebut walaupun pada awalnya ia menolak kejadian itu ada kaitan dengan keganasan.

Menurutnya, seorang lelaki berusia 25 tahun telah ditahan selepas disyaki sebagai suspek yang mendalangi serangan bersenjatakan pisau tersebut semalam.

"Ia adalah insiden yang tragis dan ingatan kami bersama mereka yang terjejas. Kejadian seperti itu jarang berlaku dan saya menggesa orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi. Kami berharap orang ramai yang mempunyai rakaman insiden tersebut supaya tampil kepada pihak berkuasa," kata jurucakap polis, John Campbell.

Terdahulu, Reuters dan The Daily Telegraph memetik sumber keselamatan melaporkan suspek tersebut adalah warga Libya dikenali sebagai Khairi Saadallah

Polis bagaimanapun belum mendedahkan identiti suspek.

Sebelum kejadian itu, demonstrasi Black Lives Matter turut diadakan di taman itu namun polis percaya ia tiada kaitan dengan serangan tersebut.

Sementara itu, seorang saksi, Lawrence Wort mendakwa penyerang terbabit dilihat berjalan ke arah taman tersebut yang ketika itu sesak dengan pengunjung.

Artikel Berkaitan:

"Dia menjerit dengan kata-kata tidak difahami secara tiba-tiba sebelum menuju ke arah orang ramai sambil membawa pisau. Tiga daripada ditikam pada bahagian leher dan lengan mereka," kata Wort. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!