'Arsenal lepaskan peluang'

Maupay (tengah) ketika menjaringkan gol kemenangan Brighton ketika menewaskan Arsenal di Stadium Amex.
Maupay (tengah) ketika menjaringkan gol kemenangan Brighton ketika menewaskan Arsenal di Stadium Amex.
A
A
A

PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya apabila sekali lagi terpaksa menyaksikan The Gunners berputih mata pada masa kecederaan selepas tewas 2-1 kepada Brighton pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Amex.

Menurut bekas penolong Pep Guardiola di Manchester City itu, corak permainan dipamerkan pemain kelab utara London dalam perlawanan berkenaan sesuatu yang sepatutnya tidak berlaku ketika The Gunners berusaha memburu kedudukan empat terbaik liga.

“Sejujurnya saya tidak dapat menerima corak dan gaya permainan pemain-pemain Arsenal yang mengundang kepada kekalahan ini.

“Kami melepaskan deretan peluang untuk melebarkan jaringan, sebaliknya pemain memberikan pemain Brighton peluang menjaringkan gol dan kami tidak menekan lawan selepas mereka mendahului.

“Pada saingan liga tahap ini anda tidak boleh memberikan gol mudah kepada lawan apatah lagi selepas mendahului perlawanan dan inilah yang berlaku sekarang,” katanya.

Pada perlawanan itu, The Gunners terpaksa menunggu babak kedua untuk merobek gawang The Seagulls menerusi pemain termahal kelab, Nicolas Pepe pada minit ke-68.

Namun Brighton kembali mengikut perlawanan hasil kealpaan jentera Arsenal menerusi jaringan Lewis Dunk pada minit ke-75 sebelum Neal Maupay memahat kekalahan kedua The Gunners pada minit ke-95.

Arsenal selepas diaibkan 3-0 Manchester City di Etihad beberapa hari lalu berusaha bangkit dengan semangat baharu ketika berkunjung ke laman anak buah Graham Potter itu.

Artikel Berkaitan:

Kekalahan itu menyaksikan pemburuan slot keempat The Gunners semakin tersasar apabila lapan mata ketinggalan berbanding pesaing terdekat Chelsea kendalian Frank Lampard.

Tambah pengendali dari Sepanyol itu, beliau akan berusaha memperbaiki lagi setiap kelemahan The Gunners berdasarkan dua perlawanan sebelum ini.

“Sebenarnya pemain Arsenal sudah pun berusaha sehabis baik tidak hanya di padang latihan dan perlawanan sebenar. Cumanya masalah besar kini pemain Arsenal gagal untuk menyaingi pemain lawan.

“Ini antara cabaran sebenar sesebuah kelab seperti Arsenal iaitu membina semula kekuatan jati diri kelab sebenar dalam diri pemain,” katanya.

Sementara itu, bekas pemain pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand menyifatkan kemarahan bekas pemain Everton, Arsenal dan Manchester City berkenaan sebagai satu amaran tegas kepada pemainnya selepas mempersia-siakan peluang meraih slot ke saingan kelayakan Liga Juara-Juara musim depan.

“Apabila seseorang pengurus menyuarakan bahawa anak buahnya beraksi tidak pada tahap terbaik dalam menyaingi pemain lawan itu bermaksud dia tidak berpuas hati dengan komitmen dipamerkan oleh seseorang pemain.

“Arteta pastinya akan memberi lebih kerja rumah kepada pemain ini dalam beberapa minggu ke depan apatah lagi selepas beliau mengharapkan persembahan lebih positif daripada setiap pemain setelah liga bersambung.

“Semangat melawan tinggi, karakter tidak mengalah dan keazaman memburu kemenangan itulah yang diharapkan Arteta selepas saingan liga kembali bersambung,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!