DBKL tutup kedai gunting rambut dikendali warga asing
KUALA LUMPUR - Sebuah kedai gunting rambut milik warga tempatan namun dikendalikan warga asing di Jalan Loke Yew di sini diarah tutup oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semalam.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, seramai enam anggota termasuk seorang pegawai DBKL melakukan pemantauan serta pemeriksaan bermula pada jam 4 petang dan mendapati premis tersebut mempunyai lesen dikeluarkan oleh DBKL dalam tempoh sah hingga 20 November depan.
"Namun, pemegang lesen itu tidak berada di kedai dikatakan berada di Pulau Pinang.
"Sementara pengendali kedai gagal menunjukkan pasport mahupun permit kerja sah dengan alasan dokumen itu berada di tangan majikannya," katanya.
Menurut beliau lagi. premis berkenaan ditutup serta-merta di bawah Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Terdahulu, DBKL bertindak tegas menguatkuasakan Undang-Undang Kecil (UUK) sedia ada bagi memastikan tiada warga asing terlibat dalam industri perniagaan terutama penjajaan.
DBKL menghadapi kebanjiran peniaga warga asing khususnya di sektor tred, perniagaan dan industri serta penjajaan yang memerlukan tindakan penguatkuasaan dilakukan dengan kerjasama agensi lain termasuk Jabatan Imigresen Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!