PRK DUN Chini: SPR keluar 156 kertas undi pos
KUANTAN - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan 156 kertas undi pos bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, semalam.
Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, pengeluaran kertas undi pos itu bermula pada jam 2.30 petang dan dijalankan oleh Petugas Pilihan Raya di Dewan Komuniti, Majlis Daerah Pekan.
"Proses pengeluaran kertas undi pos dijalankan dengan kehadiran wakil calon daripada BN selain seorang wakil pemerhati yang dipilih untuk menyaksikan proses pengeluaran kertas undi pos tersebut.
"Proses pengeluaran kertas undi pos bagi PRK DUN Chini ini telah disiarkan secara langsung di Facebook SPR bagi tujuan meningkatkan lagi kefahaman masyarakat awam mengenai proses pilihan raya," katanya melalui satu kenyataan hari ini.
Azhar Azizan berkata, sebanyak 155 sampul keutamaan diserahkan kepada pihak Pos Malaysia untuk dihantar kepada pengundi-pengundi manakala satu lagi sampul keutamaan diserahkan oleh Pegawai Pengurus kepada pengundi melalui serahan tangan pada hari sama.
"SPR mengingatkan kepada semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi borang pengisytiharan identiti (Borang 2) yang disertakan dengan lengkap dan segera mengembalikan semula kepada Pegawai Pengurus PRK DUN Chini, sebelum jam 5 petang pada hari mengundi, 4 Julai depan.
"Pengundi juga diingatkan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial. Sekiranya perbuatan ini dilakukan, tindakan undang-undang akan diambil dan jika disabitkan serta didapati bersalah boleh dikenakan hukuman sewajarnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!