Hidup tak tenteram selagi tidak tahu siapa pembunuh Adib
ALOR SETAR - "Kami tidak akan berpuas hati sampai bila-bila jika tidak tahu siapa yang menjadi punca kepada kematian anak kami, Allahyarham Muhammad Adib," kata Mohd Kassim Abdul Hamid, 66.
Menurutnya, biarpun kejadian tersebut sudah dua tahun berlalu, namun perkara itu tidak pernah padam daripada ingatan mereka dan sehingga kini ternanti-nanti untuk melihat pelakunya dihadapkan ke muka pengadilan.
"Jika kes ini tidak dapat diselesaikan, kami akan ingat sampai bila-bila. Kami tidak dapat hidup tenteram. Kami sangat berharap pihak berkaitan dapat menangkap dan membicarakan pelakunya.
"Selepas Mahkamah Koroner memutuskan (pada 27 September 2019) kematian anak kami disebabkan perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui, sehingga kini kami masih tertunggu-tunggu tindakan seterusnya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Mohd Kassim berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan yang menyatakan pihak polis meneruskan siasatan untuk mengenal pasti dua atau lebih individu yang terlibat dalam kejadian berkenaan.
Jelas Takiyuddin, kes kematian anggota bomba itu masih diteruskan pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesan pelaku yang terlibat dalam insiden pada November dua tahun lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Pembunuh Adib diburu!
Sementara itu, ibu Allahyarham Muhammad Adib, Asma Aziz, 54, mengalu-alukan usaha pihak berkuasa untuk terus mencari bukti dan menyelesaikan kes tersebut.
"Itu yang kita mahu (pihak berkuasa teruskan siasatan). Saya mahu lihat siapa yang buat (sebabkan kematian) anak saya ini," katanya.
Allahyarham Muhammad Adib, 24, yang merupakan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018, di Institut Jantung Negara berikutan kecederaan dialaminya dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!