AKPK sedia bantuan awal hadapi pasca moratorium
KOTA BHARU - Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Kelantan bersedia memberi khidmat nasihat serta penjadualan semula hutang kepada individu yang berdepan masalah pembayaran hutang dalam tempoh pasca moratorium.
Ketua Cawangan AKPK Kota Bharu, Mohd Rizauddin Noor berkata, pemberian enam bulan moratorium memberi banyak manfaat kepada masyarakat terutama golongan terjejas yang kehilangan sumber pendapatan.
“Pelaksanaan moratorium ini bakal berakhir pada 30 September ini. Bagi golongan yang pendapatannya tidak terjejas tetapi tetap memilih untuk menerima moratorium dijangka tidak mempunyai masalah untuk membayar semula pinjaman setelah tamat tempoh moratorium.
“Namun, bagi mereka yang masih terkesan dari segi kewangan dan menempuh saat sukar diseru agar mendapatkan bantuan awal dengan menghubungi institusi kewangan masing-masing atau AKPK,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, AKPK sentiasa menyediakan perkhidmatan terbaik untuk pelanggan terutama mereka yang gagal untuk merancang kewangan dan perbelanjaan dengan baik.
Beliau berkata, ada beberapa keperluan yang perlu dilakukan masyarakat sebelum tempoh moratorium berakhir terutama untuk menyediakan mental dan fizikal bebanan kewangan yang bakal di sambung.
“Kena bersedia dari segi mental dan emosi bahawa tiada lagi penangguhan bayaran selepas 30 September 2020. Peminjam perlu membuat persediaan membayar hutang seperti sediakala. Kita juga disarankan untuk tidak menunggu saat akhir bagi menunaikan tanggungjawab sebagai peminjam. Rancang awal pembayaran pinjaman sebelum moratorium berakhir.
“Hubungi AKPK untuk mendapatkan khidmat nasihat pengurusan wang dan hutang. Jangan bertangguh kerana lagi lama kita tunggu, lagi sedikit pilihan yang ada untuk mencari jalan penyelesaian. Wajib untuk kita ketahui ansuran bulanan terkini, jangan lupa untuk menghubungi institusi kewangan bagi mendapatkan maklumat berhubung ansuran bulanan terkini yang harus dibayar selepas tamat moratorium.
“Semak semula kedudukan kewangan terkini. Nilai semula kedudukan kewangan terkini dengan mengemas kini penyata kewangan seperti penyata nilai harta bersih dan penyata aliran tunai yang dapat memberi gambaran terkini kedudukan kewangan masing-masing,” katanya.
Rizauddin berkata, rakyat seharusnya bijak untuk meneliti kembali bajet bulanan supaya ia dapat dibuat dengan lebih cermat, teliti dan mengambil kira kemungkinan-kemungkinan yang berlaku dalam tempoh krisis koronavirus (Covid-19) ini seperti pemotongan elaun, gaji dan mungkin pemberhentian kerja.
“Pentingnya untuk mengkaji semula bajet bulanan pasca moratorium bagi memastikan kita mampu membayar hutang selepas tamat tempoh moratorium.
“Dahulukan perbelanjaan penting seperti pembayaran hutang, bil, sewa rumah dan lain-lain. Tangguhkan perbelanjaan yang tidak penting seperti makan di luar dan hiburan bagi menjana aliran tunai positif.
“Tidak salah juga bagi mereka yang mahu menjana pendapatan baru iaitu bagi menggantikan sumber pendapatan yang hilang. Untuk maklumat lanjut dan sebarang khidmat nasihat boleh hubungi kami di talian khidmat pelanggan 03-2616 7766 atau melalui laman web www.akpk.org.my serta pautan bit.ly/AKPKdmp2020 atau laman-laman sosial rasmi AKPK,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!