Mazlan nafi minta ganjaran RM5 juta, 20 hektar tanah
JOHOR BAHRU - Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Mazlan Bujang hari ini menafikan beliau meminta RM5 juta dan tanah 20 hektar daripada Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad sebagai ganjaran untuk tidak melompat parti.
Jelas beliau, perkara tersebut adalah fitnah oleh pihak yang sengaja mahu memburukkannya dan mengambil kesempatan dalam keadaan politik semasa yang tidak menentu ketika ini.
"Ada yang tanya kenapa saya tidak saman orang yang buat fitnah ini. Buat apa nak saman, orang yang buat fitnah itu tak ada duit, kalau saman dia akan bankrap.
"Nanti yang untung peguam yang akan dapat duit. Saya ikut macam Tun Dr Mahathir Mohamad yang tak penah saman orang, makin banyak orang kata makin banyak kita dapat pahala," katanya dalam sidang akhbar selepas Program Pelancaran Bantuan Pendidikan Rakyat Johor Dengan Kerjasama City University di Kompleks Yayasan Warisan Johor di sini hari ini.
Sebelum ini Mazlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa dikaitkan dengan ugutan tersebut dan perkara itu tersebar dalam kumpulan WhatsApp Bersatu Johor sebelum tular di media sosial baru-baru ini.
Difahamkan kononnya jika tidak menurut permintaan tersebut, beliau dan beberapa ADUN Bersatu lain akan melompat parti dan menyertai Pakatan Harapan (PH) Johor sekali gus memberi kesan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang menerajui kerajaan negeri.
Sementara itu, Mazlan meminta pihak tertentu supaya berhenti membuat spekulasi terhadap Bersatu Johor yang dikatakan tidak mendapat sokongan semua bahagian apabila hanya 20 daripada 26 ketua bahagian hadir dalam mesyuarat pada Jumaat lalu untuk membuat keputusan menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Katanya, keputusan tersebut dilakukan secara kolektif dengan persetujuan semua ketua bahagian kecuali Bersatu Bahagian Pontian walaupun hanya 20 ketua bahagian yang hadir pada mesyuarat tersebut.
"Enam ketua bahagian lagi yang tidak hadir ada sebab mereka sendiri untuk tidak dapat datang tetapi tetap menyatakan persetujuan dengan keputusan menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin," katanya.
Bagi bahagian Pontian kata Mazlan, pihaknya akan bertemu dengan kepimpinan bahagian dan berbincang sekali gus mendapatkan persetujuan untuk sama-sama menyokong Muhyiddin.
Sebelum ini hanya 20 daripada 26 bahagian Bersatu Johor hadir dalam mesyuarat tersebut sebelum membuat keputusan menyokong penuh kepimpinan Muhyiddin yang juga Perdana Menteri selepas Bersatu Johor dilihat bergolak sebelum ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!