Seri sudah cukup: Van Dijk
LIVERPOOL tidak panik walaupun hanya mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan dengan Everton dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Goodison Park, awal pagi tadi.
Pertahanan tengah The Reds, Virgil van Dijk berkata, keputusan seri sudah cukup untuk pendahulu liga itu mendekatkan misi untuk menjulang trofi EPL.
"Saya rasa perlawanan ini begitu sukar. Kedua-dua pasukan tidak mempunyai banyak peluang berbahaya dengan peluang terbaik Everton terkena tiang pada 10 minit terakhir.
"Kami juga memiliki beberapa peluang dan menguasai perlawanan, tetapi sayang kami tidak mampu menjaringkan gol.
"Tetapi, bagi saya semua pemain sangat gembira dapat kembali bermain. Kami tidak kalah dan keputusan ini tetap mendekatkan misi kami untuk menjulang trofi EPL," katanya.
Untuk rekod, Liverpool hanya memerlukan dua lagi kemenangan untuk menamatkan penantian 30 tahun menjulang trofi EPL.
Dalam pada itu, pengendali Liverpool, Jurgen Klopp mengakui para pemainnya menghadapi kesukaran untuk mempamerkan persembahan terbaik dan belum menemui rentak untuk mencipta kemenangan.
"Ini adalah derby dan semua pemain menyedari perkara berkenaan yang pastinya perlawanan akan menjadi sukar.
"Everton bertahan sangat baik dan kami tak cukup bijak untuk memanfaatkan peluang yang ada.
"Tetapi, itu normal kerana pemain kembali bermain selepas berehat lama sehingga tiga bulan. Saya boleh menerima keputusan ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!