PRK Chini: Orang asli Kampung Melai mohon elektrik
PEKAN - Seramai 137 penduduk orang asli di Kampung Melai, Chini berharap kerajaan memberi perhatian terhadap penyediaan bekalan asas seperti bekalan air bersih, elektrik dan kemudahan jalan raya yang lebih selesa untuk masyarakat di kawasan tersebut.
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Melai, Chu Betiyu berkata, dengan kemasukan lebih ramai pemimpin ke kawasan Chini sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, di sini, beliau berharap, ia bakal membawa sinar baharu dan perubahan kepada penduduk termasuk penambahbaikan infrastruktur serta prasarana.
Chu, 40, berkata, walaupun Kampung Melai sudah wujud ratusan tahun, namun sehingga kini penduduk di kawasan tersebut tidak dapat menikmati elektrik dan masih menggunakan jalan tanah merah hampir lapan kilometer meliputi keseluruhan kampung.
"Kampung ni cuma terletak tiga kilometer dari jalan raya besar sempadan Chini 1. Kalau dapat buat jalan ke, elektrik ke mudahlah anak-anak orang asli nak belajar.
"Ada 39 keluarga dengan 137 penduduk serta 27 buah rumah di mana satu rumah menempatkan tiga buah keluarga.
"Kami harap calon-calon PRK ni mana yang boleh bantu, datanglah ke kampung kami kerana orang asli tiada akses telekomunikasi," katanya.
Beliau berkata, bagi menghantar anak ke sekolah, penduduk terpaksa melalui jalan tanah merah sejauh tiga kilometer dan 10 kilometer masing-masing melibatkan perjalanan ke Sekolah Rendah Kampung Gumum Tasik Chini dan Sekolah Menengah Paloh Hinai.
"Kampung ni wujud ratusan tahun. Pokok durian pun dah besar pemeluk. Buat masa ni perubahan tak ada sangat. Balai raya dan jambatan ada.
"Penduduk jana pendapatan dengan hasil hutan dan pertanian. Pengangkutan penduduk kebanyakan hanya motosikal kerana kereta agak sukar masuk dalam kampung," katanya.
Penduduk, Rohani Rajak, 42, berharap bantuan kemudahan elektrik kerana sudah tidak sanggup untuk bergelap.
Sebelum ini katanya, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Ahli Parlimen Pekan telah memberikan bantuan lampu solar namun mendakwa tidak lagi menikmati kemudahan tersebut disebabkan berlaku kerosakan.
"Air bersih kami berpakat satu kampung. Orang lelaki bina saluran dari sungai atas bukit tapi kalau musim kemarau tak adalah air bersih. Terpaksa angkut air sungai. Takut dah tak bersih," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!