Hampir 24,000 aduan sepanjang tempoh PKP
PUTRAJAYA - Kementerian Sumber Manusia melalui Jabatan Tenaga Kerja (JTK) menerima hampir 24,000 aduan termasuk isu pembuangan pekerja sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata, JTK mengambil masa yang lama untuk menyelesaikan kesemua laporan yang diterima kerana berlaku lambakan kes.
"Kita minta semua pihak termasuk Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) memberi ruang JTK meneliti kesemua aduan terutama melibatkan pembuangan pekerja.
"Kita kena faham keadaan luar biasa terlalu banyak kes. Mungkin bukan itu sahaja (kes yang dinyatakan MTUC) lewat memandangkan terlalu banyak kes," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) atau Penjana HRDF di kementeriannya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan MTUC yang kesal dengan kelewatan JTK bertindak terhadap isu kebajikan termasuk pembuangan pekerja.
Bagaimanapun, Saravanan memberi jaminan kepada MTUC bahawa setiap kes akan disiasat.
"Sabarlah, mungkin mengambil sedikit masa sebab terlalu banyak kes tetapi kita sedang mengambil langkah untuk mempercepatkan tindakan," katanya
Katanya, semua pihak diminta memberi ruang kepada agensi di bawah kementeriannya itu meneliti dan mengambil tindakan terhadap aduan yang dibuat itu.
"Kita kena faham keadaan luar biasa (aduan berkenaan pembuangan pekerja dan isu kebajikan pekerja yang diterima) terlalu banyak kes," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!