Sindiket dadah kembali aktif, modus operandi guna dron
KUALA LUMPUR - Polis percaya sindiket dadah kembali aktif sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua sehingga kini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ramli Din berkata, ini berikutan berlaku peningkatan jumlah rampasan dan tangkapan dadah selain mengesan modus operandi baharu sindiket.
"Siasatan mendapati, sindiket pengedaran dadah dikesan 'reda' pada permulaan PKP lalu. Namun ia mula bergiat semula ketika fasa kedua PKP.
"Apa yang kita kesan hari ini adalah modus operandi baharu sindiket yang menggunakan dron dan diterbangkan dari Kranji, Singapura ke Johor Bahru," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Ramli berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan sindiket dadah ini sentiasa berusaha mencari modus operandi baharu bagi mengaburi pihak berkuasa.
Katanya, polis sentiasa akan berusaha keras bagi mengesan dan menghapuskan sindiket terbabit.
Dua hari lalu, media melaporkan kira-kira 5.45 petang, 17 Jun lalu, polis mengesan aktiviti pesawat tanpa pemandu yang luar biasa di sekitar Taman Takungan Kranji dan memerhatikan pesawat tanpa pemandu terbang dengan beg yang terpasang di atasnya.
Siasatan awal mendapati beg itu mengandungi dadah disyaki jenis syabu seberat sekitar 278 gram. Polis kemudiannya menahan dua lelaki berusia 29 dan 34 tahun dipercayai pengendali dron berkenaan.
Dalam operasi susulan oleh CNB pada keesokan harinya, seorang wanita berusia 24 tahun dan seorang lelaki berusia 40 tahun, kedua-duanya warga Singapura, ditangkap.
Kira-kira 389 gram syabu, lapan gram heroin, 195 tablet ekstasi dan dua tablet Erimin-5 yang dianggarkan bernilai sekurang-kurangnya S$44,000 (RM134,355) dirampas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!