Gitar Kurt Cobain dilelong RM25 juta
CANBERRA - Gitar milik bintang grunge terkenal, Kurt Kobain yang digunakan dalam persembahan MTV Unplugged 1993 Nirvana di New York dijual semalam pada harga AS$6 juta (RM25 juta).
Agensi berita Anadolu melaporkan, gitar Martin D-18E 1959 dijual dalam sebuah lelongan dan dibeli ahli perniagaan Australia, Peter Freedman.
Harga awal instrumen yang dimainkan Cobain pada November tersebut, hanya lima bulan sebelum kematiannya ditetapkan pada AS$1 juta (RM4 juta).
Bagaimanapun, peminat penyanyi itu bersama pelabur bersaing dalam lelongan sehingga nilai jualannya memecahkan rekod dunia.
Sebelum ini, gitar termahal pernah dijual dalam sejarah ialah jenis Fender Stratocaster 1969 milik anggota kumpulan rock Pink Floyd, David Gilmour pada harga AS$3.95 juta (RM16 juta) dalam lelongan tahun lalu.
Cobain yang dilahirkan pada 1967 ditemui mati di rumahnya kerana bunuh diri pada April 1994 ketika berusia 27 tahun. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!