Misteri belon udara putih
SENDAI - Sebuah belon putih yang dikesan terbang di timur laut Jepun masih tidak diketahui dari mana asalnya, lapor portal berita The Mainichi pada 19 Jun lalu.
Belon itu telah mencetuskan spekulasi selepas ia dilihat oleh penduduk wilayah Miyagi dan Fukushima pada 17 Jun lalu.
Dalam tindak balas segera, pihak berkuasa tempatan menghantar helikopter untuk memeriksa belon itu tetapi gagal untuk menentukan ia berasal dari mana.
Berita itu juga menjadi viral kerana ramai yang menyuarakan perasaan teruja dan ingin tahu tentang maklumat lanjut tentang belon itu.
Beberapa pakar membuat spekulasi ia mungkin belon cerapan untuk sebuah negara asing.
Yoshihiro Tachibana yang merupakan seorang profesor di Universiti Mie berkata, ia mirip belon kaji cuaca seperti yang pernah digunakan di luar negara.
"Sebuah objek yang dilancarkan di sebuah negara asing kemungkinan besar telah bergerak ke udara timur laut Jepun," katanya.
Menurutnya, belon kaji cuaca bergerak ke udara kerana ia diisi dengan gas dan dicipta untuk meletup ketika sampai pada paras yang tinggi.
"Belon yang dikesan di timur laut Jepun itu mungkin bergerak ke Lautan Pasifik ketika menurun berikutan kebocoran gas," tambahnya.
Katanya, objek yang kelihatan seperti salib yang digantung pada belon itu kemungkinan digunakan untuk merekodkan dan menghantar data. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!