Peniaga Chini gembira, PRK beri limpahan rezeki
KUANTAN - Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini memberi rezeki berganda kepada peniaga makanan terutama roti canai dan martabak.
Peniaga gerai makan di Felda Chini 5, Khaziah Mohd Yunos, 52, berkata, sebelum PRK, gerainya hanya menyediakan 12 kilogram (kg) tepung gandum bagi menghasilkan kira-kira 200 roti canai setiap hari.
Namun, menurutnya, dalam tempoh kempen PRK, sebanyak 18kg hingga 20kg tepung gandum disediakan bagi menghasilkan 400 roti canai sejak Isnin lalu.
“Jadi, pada musim PRK ini saya untung lebih sikit berbanding hari biasa. Kalau dulu saya mampu jual 200 roti canai, kini bertambah 100 peratus (400 keping roti canai) manakala martabak pula daripada 20 keping kepada 60 keping sehari.
“Alhamdulillah inilah rezeki yang kita boleh nikmati pada PRK kali ini apabila sudah lama tidak berniaga sejak tiga bulan lalu susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.
Selain roti canai dan martabak, turut dijual ialah nasi lemak, soto, nasi dagang dan mi goreng.
Khaziah yang sudah terlibat dalam perniagaan itu sejak lapan tahun lalu memberitahu, sudah menjadi kebiasaan jualan makanan laris apabila berlangsungnya pilihan raya di kawasan terbabit.
Katanya, peluang itu akan digunakan sepenuhnya untuk menambah pendapatan seisi keluarga.
“Kalau dulu kita berniaga di Bandar DARA, tapi kini kedai bersebelahan dengan rumah sahaja.
“Tapi kunjungan orang ramai itu tetap ada... macam pagi tadi (semalam) calon Barisan Nasional (BN) turut makan dan melawat gerai ini,” katanya.
Ibu kepada seorang anak itu berkata, purata pendapatan yang diraih sejak PRK DUN Chini dianggarkan sekitar RM800 sehari berbanding sebelum ini hanya RM500.
Sementara itu, Bernama melaporkan, seorang peniaga buah-buahan Norzita Said, 52, menyifatkan kemeriahan PRK meskipun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sememangnya memberi kesan positif buat dirinya apabila buah-buahan seperti durian, mangga dan pisang laku dengan pantas.
“Seronok berniaga semasa pilihan raya ini, sebabnya buah-buah yang baru dibeli daripada peraih tak sempat nak diperam dalam stor pun habis dibeli orang,” katanya yang berniaga berhadapan tapak Pasar Tani Kekal di Bandar DARA, Chini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!