Ajinomoto bantu ringankan beban golongan kurang mampu
KUALA LUMPUR - Sebagai komitmen dalam memberi sokongan terhadap kesihatan dan kesejahteraan masyarakat ketika pandemik koronavirus (Covid-19), Ajinomoto (Malaysia) Berhad (AMB) terus membawa keriangan serta rasa kasih sayang melalui inisiatif Penciptaan Nilai Bersama oleh Kumpulan Ajinomoto (ASV) pada sambutan Aidilfitri tahun ini.
Pengarah Urusan AMB, Naoko Yamamoto berkata, antara inisiatif dilaksanakan termasuklah sumbangan barangan keperluan asas dan produk AMB kepada mereka yang kurang berkemampuan bagi meringankan beban ketika penularan wabak Covid-19.
Menurutnya, sebanyak tiga pertubuhan warga emas dan anak yatim menerima manfaat tersebut selain bantuan turut disalurkan ke 500 rumah keluarga kurang berkemampuan melalui kerjasama dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM).
"Rumah warga emas yang terlibat adalah sebahagian daripada Projek Peningkatan Pemakanan Warga Emas AMB.
"Saya sangat berharap agar inisiatif ini dapat memberi manfaat kepada masyarakat untuk 'Eat Well, Live Well', kekal sihat dan terus ceria walaupun berada dalam keadaan yang mencabar," katanya menerusi satu kenyataan.
Sumbangan diserahkan kepada PBSM, Rumah Orang Tua Seri Kenangan Cheras serta Rumah Orang Tua dan Rumah Kanak-Kanak Victory pada 11 Jun lalu.
Dalam pada itu, Naoko berkata, AMB turut mengadakan kempen 'Jauh Beraya, Erat Di Hati' bagi membantu umat Islam yang tidak dapat pulang ke kampung menyambut hari raya dengan menghantar ‘love box’ yang mengandungi ucapan perayaan serta produk AMB kepada ahli keluarga dan rakan-rakan mereka.
Menurutnya, kempen tersebut bertujuan menyebarkan kemeriahan sambutan hari raya kepada insan tersayang walaupun berada berjauhan.
"AMB berharap usaha ini dapat membantu masyarakat di negara ini menempuh dugaan yang mencabar dan pada masa yang sama, berkongsi kemeriahan serta rasa kasih dan sayang sesama insan selaras dengan initiatif ASV," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!