Persidangan Pravasi Bharatiya Divas: Isu visa India mahal agenda utama
VARANASI, UTTAR PRADESH - INDIA. Isu kenaikan caj visa menjadi mesej utama delegasi Malaysia yang hadir ke persidangan Pravasi Bharatiya Divas kali ke-15.
Meskipun tanpa kehadiran wakil menteri India sebagai wakil Malaysia untuk menyampaikan mesej tersebut, namun isu kenaikan caj ini menjadi topik utama yang akan disampaikan delegasi Malaysia kepada kerajaan India dalam persidangan yang berlangsung tiga hari di Varanasi.
Timbalan Speaker Dun Negeri Sembilan merangkap Adun Sri Tanjung (PKR), M Ravi berkata, kehadiran lebih 400 delegasi Malaysia dalam persidangan yang membabitkan semua warga India dari seluruh dunia ini akan membangkitkan isu kenaikan harga visa India untuk rakyat Malaysia yang meningkat dari RM180 kepada RM500 bagi tempoh sebulan.
"Saya betul-betul kecewa tiada menteri wakil kaum India dari Malaysia hadir untuk berucap dalam persidangan Pravasi Bharatiya Divas kali ke-15, sedangkan kita ada isu kenaikan caj visa untuk disuarakan kepada kerajaan India. Kita ini asal keturunan dari India tapi nak datang ke tanah kelahiran nenek moyang perlu lalui kawalan ketat dan caj visa yang tinggi.
"Mungkin ini alasan kerajaan India untuk mengurangkan kedatangan rakyat Malaysia ke sini. Isu kenaikan harga visa memang masalah besar tapi apa gunanya kita datang dengan jumlah delegasi yang besar namun, tiada tindakan lanjut kerana tiada wakil untuk bersuara," katanya ketika ditemui media di sini, hari ini.
Ravi menambah, selain isu visa, Malaysia turut membawa isu lain seperti biasiswa pelajar dan juga peluang pelaburan.
Sementara itu, Adun Repah (PKR), S. Veerapan berharap persidangan Pravasi Bharatiya ini dapat menyuntik pelaburan berskala besar kepada Malaysia.
Beliau yang juga Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan berkata, selain peluang pelaburan, diharapkan pemimpin India dari seluruh dunia dapat menyumbang manfaat dalam bidang pendidikan dan pelancongan yang akan menguntungkan Malaysia.
"Persidangan Pravasi ini menghimpunkan pemimpin India dari seluruh dunia, diharapkan dapat menarik ramai pelabur datang melabur di negara kita di samping mempromosikan produk negara mereka.
"Selain dapat mewujudkan sistem perdagangan import dan eksport, ia dijangka turut merancakkan industri pelancongan di Malaysia," ujarnya.
Hal demikian, menurut beliau, adalah penting dan bermanfaat kepada hubungan dua hala Malaysia-India jika kedua-dua negara dapat mengecualikan caj visa pelancongan.
Sempena persidangan tahunan ini, India sekali lagi membuka pintu untuk kali ke-15 untuk semua warga India dari seluruh dunia untuk menghadiri persidangan bertaraf antarabangsa ini.
Varanasi atau Kashi dikenali sebagai bandar suci bagi kaum India yang beragama Hindu juga Parlimen yang diwaklili oleh Perdana Menteri, Narendra Modi.
Dianggarkan sekitar 6,000 delegasi dari seantero dunia menghadiri persidangan tiga hari ini dengan mengangkat tema 'Role of Indian Diaspora in building New India'.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!