Menangkan calon Bebas di DUN Chini, kata Mahathir

Dr Mahathir Mohamad - Foto Reuters
Dr Mahathir Mohamad - Foto Reuters
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa pengundi Chini menyokong calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Dr Mahathir yang juga merupakan bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berpendapat, Tengku Zainul amat sesuai menggantikan penyandang asal walaupun bertanding sebagai calon Bebas pada PRK berkenaan.

"Saya berpendapat calon ini amat sesuai walaupun sebagai calon Bebas. Parti Bersatu tidak letak calon tetapi saya seorang sokong calon ini untuk bertanding.

ARTIKEL BERKAITAN: Tanding calon Bebas, keahlian Bersatu Tengku Zainul Hisham terhenti serta-merta

"Saya harap penduduk Chini memberi kemenangan kepadanya," katanya dalam satu video berdurasi kira-kira satu minit di Facebooknya, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut berharap pengundi tidak dipengaruhi oleh sogokan daripada mana-mana pihak kerana ia akan menghilangkan kedudukan rakyat dan menimbulkan masalah.

"Janganlah kita mengundi kerana sogokan kerana ini akan menghilangkan kedudukan kita yang akan menyebabkan kita menghadapi masalah," katanya.

Tengku Zainul yang juga bekas Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Pekan itu akan menentang calon Barisan Nasional (BN), Mohd Shahrim Md Zin dan seorang lagi calon Bebas, Mohd Shukri Mohd Ramli dalam PRK pada 4 Julai ini.

Artikel Berkaitan:

DUN Chini mempunyai 20,990 pengundi. PRK kali ini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun dari BN akibat serangan jantung pada 6 Mei lalu.

Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan majoriti 4,622 undi, menewaskan calon Pas, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang memperoleh 5,405 undi.

Turut bertanding dalam pertembungan tiga penjuru itu ialah calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamad Razali Ithnain yang hanya mendapat 1,065 undi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!