Penganggur mengaku tidak bersalah rompak barang kemas RM30,000
KUALA LUMPUR - Seorang penganggur mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan dan mendatangkan kecederaan sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM30,000 terhadap sepasang suami isteri awal tahun lalu.
Suresh Arunugham, 42, membuat keputusan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Mahyon Talib.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu bersama tiga lagi individu yang masih bebas didakwa melakukan kesalahan itu dengan mengambil barang kemas berupa empat gelang tangan, dua rantai leher dan dua cincin.
Dia dituduh dengan sengaja merompak seorang wanita berusia 55 tahun dan mendatangkan kecederaan terhadap suami mangsa yang berusia 62 tahun di bahagian kepala dengan menggunakan pasu bunga.
Kesalahan itu berlaku pada jam 11.45 malam, 27 Januari lalu di sebuah flat di Brickfields.
Dia didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dengan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Nur Liyana Mohd Jafri tidak mencadangkan sebarang ikat jamin kepada tertuduh kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.
Mahkamah menetapkan 13 Julai depan sebagai sebutan semula kes.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!