Lori bawa lembu seludup terbabas
TUMPAT - Sebuah lori membawa muatan lima ekor lembu seludup terbabas ketika dikejar anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 di kawasan Bendang Pok Yong, Kuala Jambu di sini awal pagi hari ini.
Kejadian berlaku pada jam 4.10 pagi itu menemukan enam lembu jantan yang bernilai RM30,000, bagaimanapun pemandu lori berkenaan berjaya melarikan diri.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, bertindak atas maklumat penyeludupan lembu dari negara jiran ke Malaysia menerusi Op Benteng Covid Kelantan, anggota Strike Force membuat rondaan bermotosikal di sekitar kawasan Bendang Pok Yong Kuala Jambu.
“Semasa rondaan dibuat, anggota terserempak dengan sebuah lori berwarna putih dalam keadaan mencurigakan dan mengejar dari sawah padi di Pisau Raut sehingga ke belakang Sekolah Bendang Payong.
“Setelah itu, lori dipandu terbabas dan pemandu pula melarikan diri. Pemeriksaan di dalam lori menjumpai lima ekor lembu jantan berwarna coklat yang dipercayai diseludup dari negara Thailand,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Beliau berkata, selepas anggota Strike Force menunggu hampir 30 minit, tidak ada sesiapa yang datang menuntut lembu-lembu tersebut.
“Lori jenis Hic-Hicom berwarna putih bersama lima lembu jantan tersebut dibawa ke Balai Polis Kuala Jambu untuk laporan polis dan diserahkan kepada jabatan berkenaan untuk siasatan lanjut.
“Hasil siasatan awal mendapati lembu-lembut tersebut dipercayai diseludup dari Thailand untuk pasaran tempatan melalui pangkalan haram bagi mengelakkan cukai kerajaan dan pemeriksaan pihak berkuasa,” katanya.
Tambahnya, seekor lembu tersebut dianggarkan bernilai RM6,000 manakala lori jenis Hic-Hicom tersebut bernilai RM50,000 menjadikan keseluruhan rampasan berjumlah RM80,000.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!