KPDNHEP rampas seluar jeans, kasut tiruan
KAJANG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyerbu sebuah premis yang menjual seluar jeans dan kasut tiruan di Jalan Reko di sini semalam.
Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, serbuan kira-kira jam 11 pagi itu dijalankan sepasukan anggota KPDNHEP cawangan Kajang hasil maklumat dan risikan.
Menurutnya, dalam serbuan itu pihaknya merampas 370 seluar jeans serta 30 pasang kasut disyaki adalah tiruan.
"Dianggarkan nilai rampasan mencecah RM20,000.
"Siasatan awal mendapati premis terbabit dipercayai mula beroperasi setelah berpindah dari tapak jualan uptown di Jalan Reko memandangkan kawasan terbabit masih belum dibuka ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat KPDNHEP Kajang di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya percaya barang tiruan terbabit dijual dengan harga serendah RM50 sepasang.
Katanya, maklumat awal mendapati barangan terbabit dibawa masuk dari Bangladesh.
"Seorang lelaki yang merupakan pemilik premis itu telah direkod keterangan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Cap Dagangan 2019," katanya.
Tambahnya, pihaknya serius dalam menangani isu mengedar dan menjual barang tiruan.
"KPDNHEP tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang melakukan kesalahan dan orang ramai digesa untuk menyalurkan maklumat berhubung kegiatan terbabit," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!