NUTP bimbang risiko jika prasekolah diteruskan

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Walaupun kerajaan memutuskan sesi prasekolah bermula 1 Julai ini, namun rata-rata guru prasekolah di sekolah kebangsaan bimbang kerana berdepan kekangan infrastruktur bagi memenuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminudin Awang berkata, pihaknya tidak dapat menghalang hasrat kerajaan untuk meneruskan sesi prasekolah bermula 1 Julai ini memandangkan keputusan mengenainya sudah dibuat.

Menurutnya, sebagai wakil kesatuan, NUTP sudah menjalankan tugas dengan membawa suara serta mengemukakan rungutan guru-guru prasekolah di sekolah kebangsaan seluruh Malaysia yang khuatir dengan pelaksanaan semula operasi itu nanti.

Beliau berkata, rata-rata guru prasekolah di sekolah kebangsaan ini bimbang kerana mereka yang akan berdepan dengan situasi tersebut nanti.

"Betul kerajaan sudah menyediakan SOP sebagai garis panduan, tetapi dari segi kesediaan kebanyakan prasekolah di sekolah kebangsaan masih belum bersedia untuk beroperasi kerana kekangan infrastruktur dalam memenuhi SOP ditetapkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada penangguhan, sesi prasekolah tetap diteruskan 1 Julai

"Kebanyakan tadika swasta mungkin tiada masalah tetapi kami bercakap dalam skop prasekolah di sekolah kebangsaan yang banyak masalah kesediaan infrastruktur ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Terdahulu, Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, pihaknya tidak berhasrat menangguhkan sesi prasekolah yang akan bermula 1 Julai ini berikutan perkara tersebut telah pun dipersetujui sebelum ini dan perlu diteruskan dengan SOP yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Aminudin Awang
Aminudin Awang

Keputusan membenarkan prasekolah dibuka itu juga dibuat atas permintaan ibu bapa yang bekerja.

Aminuddin berkata, banyak risiko serta kemungkinan yang perlu dihadapi di sekolah terutamanya untuk memastikan aspek penjarakkan sosial dipatuhi.

"Dari segi perancangan memang kerajaan dilihat sudah bersedia, namun bagaimana mengenai pelaksanaannya nanti?

"Sekolah akan patuh pada SOP ditetapkan tetapi mampukah pelajar untuk mencapai apa yang dihasratkan," katanya.

Pada 15 Jun lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan semua prasekolah dan tabika akan dibuka kembali bermula 1 Julai ini.

Ia melibatkan 6,216 prasekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), 7,887 prasekolah swasta, 1,781 tabika di bawah Kementerian Perpaduan Negara serta 8,530 tabika kelolaan Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!