'Boy Setan' ditahan di Taman Mount Austin: Polis Johor

Ayob Khan
Ayob Khan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor menahan suspek dikenali sebagai 'Boy Setan' yang terlibat menyeludup dadah dari Johor Bahru ke Singapura dengan menggunakan dron, di sebuah rumah di Taman Mount Austin, hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, suspek, 40, diberkas oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narlotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor jam 1 petang.

"Suspek ditahan di sebuah rumah di Taman Mount Austin di sini. Hasil tangkapan itu, polis Johor percaya dapat mengesan saki-baki individu yang terlibat dalam penyeludupan dadah menggunakan dron itu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pihak berkuasa Singapura kelmarin menahan dua lelaki berusia 29 dan 34 tahun di negara tersebut kerana menggunakan dron untuk menyeludup dadah ke Singapura dari Malaysia.

Data penerbangan yang diambil dari telefon seorang suspek menunjukkan bahawa dron tersebut terbang dari Kranji, Singapura ke Johor Bahru dan kembali semula ke Kranji membawa sebuah beg, pada jam 5.45 petang 17 Jun lalu.

Siasatan awal mendapati beg berkenaan mengandungi dadah disyaki jenis syabu seberat sekitar 278 gram (g).

Susulan itu dua lelaki berusia 29 dan 34 tahun dipercayai pengendali dron terbabit ditahan sebelum esoknya seorang wanita, 24, dan seorang lelaki, 40, kedua-duanya warga Singapura ditangkap.

Sebanyak 389 gram (g) syabu, lapan gram heroin, 195 tablet ekstasi dan dua tablet Erimin 5 dianggarkan bernilai S$44,000 (RM134,355) dirampas.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!