Haiwan tak bertuan jadi pembunuh senyap

No Image Caption
A
A
A

GEROMBOLAN haiwan tidak bertuan seperti lembu, kerbau, kambing serta biri-biri yang merayau-rayau dan kemudian melintas jalan secara ‘mengejut’ di beberapa jajahan di negeri Kelantan bukanlah perkara baharu.

Situasi itu dapat dirasai sendiri pengguna sekiranya mereka memandu menggunakan jalan Rantau Panjang-Jeram Perdah-Siram (Jalan Rantau Panjang lama), sekitar bandar dan kawasan berhampiran.

Selain di Rantau Panjang, pengguna di beberapa kawasan di Pasir Mas dan Pasir Puteh turut berdepan dengan masalah yang sama.

Kehadiran haiwan tidak bertuan itu bukan sahaja menyakitkan mata malah tompokan najis yang bertaburan di atas jalan juga menyusahkan pengguna apabila mereka terpaksa mengelak daripada melanggarnya.

Ia secara tidak langsung mencemarkan imej negeri Kelantan terutama di Rantau Panjang yang dikenali sebagai salah satu syurga membeli-belah di Malaysia.

Isu itu bukanlah perkara baharu, malah ia seolah-olah sudah menjadi ‘barah’ buat penduduk setempat.

Selain itu, masalah haiwan tidak bertuan itu turut diumpamakan sebagai ‘pembunuh senyap’.

Mana tidaknya, masalah itu telah menyebabkan ramai pengguna jalan raya menjadi mangsa kemalangan selepas gagal mengelak haiwan tersebut terutama pada waktu malam kerana persekitaran yang gelap.

Artikel Berkaitan:

Semuanya gara-gara terkejut dengan kehadiran haiwan itu selain terpaksa menanggung kerugian akibat kenderaan rosak.

Kes haiwan berkeliaran itu juga bukan sahaja berlaku di Kelantan, malah tempat lain juga mengalami masalah sama.

Ia seperti yang dilaporkan berlaku di Kuala Terengganu pada 1 April lalu di mana Timbalan Menteri Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, menempuh detik cemas apabila kenderaan yang dinaikinya terlanggar seekor lembu di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berdekatan susur keluar Bukit Besi.

Mujur Rosol dan pengawal peribadi serta pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kebanyakan haiwan tidak bertuan itu sebenarnya mempunyai pemilik. Namun pemiliknya seakan-akan selesa bersembunyi di balik tabir dengan mengamalkan sikap ‘lempar batu sembunyi tangan’.

Ia dapat dilihat apabila haiwan tidak bertuan ditangkap oleh Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM) dan sejurus acara lelongan dibuat pasti ada yang tampil untuk membida haiwan berkenaan.

Situasi itu jelas menunjukkan binatang itu sebenarnya mempunyai pemilik dan ia sengaja dilepaskan dengan alasan untuk memudahkan kerja tanpa perlu menjaga rapi haiwan berkenaan.

Walaupun MDPM mempertingkatkan operasi namun masalah itu masih juga berulang sehingga kini.

Tindakan itu jelas menunjukkan pemilik lembu berkenaan lebih selesa mengamalkan sikap keras kepala tanpa memikirkan kesan yang bakal menimpa orang lain.

Penulis sendiri pernah berdepan detik cemas apabila kereta yang dipandu dilanggar seekor lembu di Jalan Rantau Panjang Lama berhampiran Kampung Bukit Lata, Pasir Mas pada 4 Januari lalu.

Kejadian jam 9.30 malam itu berlaku ketika penulis dalam perjalanan pulang ke rumah di Pasir Mas sejurus selesai melakukan tugasan di sekitar Rantau Panjang.

Bagaimanapun, penulis terselamat dalam kemalangan tersebut, namun kenderaan penulis mengalami kerosakan.

Malangnya nak tuntut ganti rugi tak tahu siapa pemiliknya. Maka terpaksa penulis mengeluarkan wang dari poket sendiri untuk membaiki segala kerosakan.

Besar harapan penulis agar pemilik haiwan sedar dan tidak mengulangi kesilapan dengan melepaskan binatang tidak berakal tersebut tanpa kawalan hingga memudaratkan orang ramai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!