Anwar tolak cadangan PH
AWANG tak terperanjat Tuk Seri Anwar tolak cadangan Pakatan Harapan (PH) untuk Tun mantan Perdana Menteri jadi Perdana Menteri selama enam bulan kalau PH menang dan mengambil alih kerajaan Persekutuan. Selepas itu teraju akan diserahkan pada beliau.
Sudah dua kali Tuk Seri Anwar ‘terkena’. Dulu masa tahun 1998, kali kedua semasa PH memerintah setelah menang PRU14. Tun mantan Perdana Menteri nampaknya memang tak mahu bagi jawatan itu pada Tuk Seri Anwar.
Dalam wawancara dengan stesen TV Channel News Asia, Tuk Seri Anwar kata beliau tak ada masalah kalau nak lantik Tun mantan Perdana Menteri sebagai Menteri Mentor atau Menteri Kanan macam yang dibuat oleh republik Singapura pada mendiang Lee Kuan Yew.
Anwar bagi alasan, tempoh enam bulan itu merugikan sebab akan timbul soal ketidakstabilan akibat dasar dan pemilihan menteri dalam Kabinet. Rakyat tak boleh berdepan dengan keadaan semacam itu, kata beliau.
Ada orang kata, jikalau Tuk Seri Anwar pimpin PH, PH tak ada harapan untuk menang PRU15. PH perlukan Tun mantan Perdana Menteri. Setakat ini pun nampaknya Tuk Seri Anwar tak berjaya tarik rakan politik dalam parti lain untuk bersamanya. Hal ini disahkan oleh kenyataan awal DAP dan Amanah.Nampaknya Tuk Seri Anwar kena bertolak ansur juga.
Profesor Kangkung, Pensyarah Kaduk
Awang sangka sokongan berkelompok para sarjana terhadap kerajaan yang memerintah dah tak berlaku lagi. Rupanya masih ada. Baru-baru ini sekumpulan 115 orang pemegang ijazah PhD menyatakan sokongan terbuka pada pimpinan Tan Sri Perdana Menteri.
Mereka terdiri daripada dua orang profesor emeritus, 22 profesor penuh, 33 profesor madya dan 58 pensyarah kanan. Dengarnya mereka mewakili 21 universiti awam dan empat universiti persendirian.
Dulu Majlis Profesor Negara (MPN) dikatakan jadi alat Bossku Tuk Seri Najib. Walaupun bukan semua tapi banyak di antara mereka yang jadi tukang canang dasar Bossku Tuk Seri Najib. Yang 115 orang ini Awang tak tahu di bawah jenama mana pula, Majlis Profesor Kangkung atau Majlis Profesor Kaduk?
Awang jadi pelik sebab ada di antara 115 orang itu yang banyak buat komentar politik, ekonomi dan sosial dalam media. Jikalau mereka dah ambil sikap sokong kerajaan secara terbuka macam mana nak objektif? Siapa nak hormat pandangan mereka?
Sia-sialah nampaknya kita nak lahirkan sarjana menara gading yang dihormati jikalau semua ambil sikap ‘siapa di atas, kami sokong’. Jikalau institusi pengajian tinggi pun dah macam badan politik, apa lagi yang tinggal untuk kita hormati?
Awang percaya pengawal yang menjaga universiti pun lebih objektif dalam hal sokong-menyokong ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!