Rezeki kegigihan penghantar makanan

Sanjeevan (tiga dari kiri) bertemu Marcus dan rakan-rakannya.
Sanjeevan (tiga dari kiri) bertemu Marcus dan rakan-rakannya.
A
A
A

SETAPAK - Kegigihan seorang penghantar makanan yang sanggup menggunakan basikal untuk menghantar makanan demi mencari rezeki mendapat perhatian badan bukan kerajaan (NGO).

Pengerusi Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), Datuk Seri Sanjeevan Ramakrisnan tampil membantu penghantar makanan tersebut.

Beliau berkata, kisah penghantar makanan mahu dikenali Marcus yang tular di media sosial menarik perhatian ramai termasuk dirinya kerana kagum dengan kesungguhannya mencari rezeki meskipun sekadar menaiki basikal untuk menghantar makanan di Setapak.

Seperti dijanjikan, Sanjeevan mahu membelikan sebuah motosikal untuk Marcus bagi memudahkan pergerakannya mengambil dan menghantar tempahan.

Bagaimanapun, Marcus tidak memiliki lesen memandu bagi motosikal kelas B2 dan masih trauma setelah terbabit dalam kemalangan jalan raya langgar lari bulan lalu.

"Memandangkan Marcus masih trauma dan lebih selesa menaiki basikal, jadi saya bantu rakan-rakan Marcus yang memerlukan bantuan seperti motosikal dan lesen memandu B2.

"Rakannya dikenali Firdaus merupakan orang kelainan upaya (OKU) akan diberi bantuan basikal elektrik kerana cacat di tangan kiri manakala Haz dibantu dari segi lesen memandu B2," katanya kepada Sinar Harian.

Akuinya pernah mengalami hidup susah membuatkan Sanjeevan memahami perasaan golongan muda yang kesempitan wang untuk membeli pengangkutan bagi memudahkan pergerakan mereka.

Artikel Berkaitan:

Sanjeevan (dua dari kiri) bersama penghantar makanan termasuk Marcus (tengah).
Sanjeevan (dua dari kiri) bersama penghantar makanan termasuk Marcus (tengah).

"Saya tahu ramai anak muda sekarang memang rajin dan mahu mencari rezeki halal tapi mengalami masalah kewangan. Ada mahu bekerja sebagai penghantar makanan tapi tak mampu beli motosikal.

"Nak jadi pemandu Grab, tiada kereta. Ramai juga nak ceburi bidang pertanian tapi tiada pengalaman, tunjuk ajar dan modal," katanya.

Atas rasa tanggungjawab, beliau tampil menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan terutama golongan muda.

"Saya faham ketika negara dilanda pandemik wabak koronavirus (Covid-19), ramai hilang pekerjaan, mahu tak mahu mereka perlu bekerja untuk tampung kehidupan.

"Justeru, saya sarankan lebih ramai pihak, NGO tampil hulurkan bantuan kepada mereka tidak kira bangsa mahupun agama," katanya.

Sungguhpun begitu, beliau menasihatkan kepada orang ramai agar tidak mengambil kesempatan dan lebih jujur dalam membuat permohonan bantuan.

"Ini kerana saya telah terima pelbagai mesej memohon bantuan, namun 50 peratus dari jumlah itu adalah individu yang mengambil kesempatan dan gemar menipu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!