AY Barber tawar gunting rambut percuma untuk warga emas, OKU
ALOR SETAR - Pemain bola sepak Kedah, Azmeer Yusof terus mengorak langkah di dalam dunia perniagaan dan terbaharu beliau mengusahakan kedai gunting rambut di Lorong Bunga Raya 4, Tongkang Yard, Alor Setar.
Lebih menarik, perkhidmatan gunting rambut itu akan disediakan secara percuma kepada warga emas yang berusia 60 tahun ke atas termasuk orang kurang upaya (OKU).
Azmeer yang dipetik melalui Facebooknya berkata, kedai gunting rambutnya itu diberikan nama AY Barber dan caj yang dikenakan kepada orang dewasa adalah sebanyak RM10 sehingga RM15 manakala kanak-kanak pula sebanyak RM7.
"Ramai bertanya kepada saya bagaimana terdetiknya hati untuk membuka AY Barber. Saya fikir dengan adanya AY Barber, saya dapat membuka peluang pekerjaan kepada dua orang Melayu Islam dan secara tidak langsung mereka mempunyai kerja untuk sara keluarga," katanya.
Menurutnya, sebahagian keuntungan dari perniagaan AY Barber akan digunakan untuk membayar gaji ustaz yang mengajar di Rumah Mengaji miliknya yang terletak di Tongkang Yard.
Terdahulu, Azmeer juga membuka sebuah Rumah Mengaji secara percuma untuk orang ramai bermula jam 9 sehingga 10 pagi pada setiap hari.
"Jangan malu, jangan segan yang mana baca tak lancar, masih baca merangkak-rangkak, dah lama tidak mengaji, itu semua no problem. Mulakan hari ini dengan amalkan mengaji.
"Tuan-tuan hanya datang bawa diri sahaja. Al-Quran dan tempat wuduk dah pun saya sediakan. Tak lama pun mengaji, 4 hingga 5 minit habis mengaji tuan-tuan terus boleh sambung kerja lain," tulisnya di media sosialnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!