Jumpa bangkai penyu terapung
SABAK BERNAM - Seekor penyu ditemui mati terapung di Pantai Bagan Nakhoda Omar di sini semalam.
Penyu itu ditemui oleh sekumpulan pegawai dari Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar yang bersiar-siar di pantai itu pada jam 5.36 petang.
Menurut Mohd Asrar Mat Yatim, 38, penyu itu dipercayai mati beberapa hari lalu kerana bangkainya sudah mengeluarkan bau busuk.
"Kami bertiga yang kebetulan berada di tempat kejadian menemui bangkai penyu terbabit.
"Ada kemungkinan ia mati ketika di laut sebelum dihanyutkan ombak dan terapung di pantai," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Selangor Abdul Rahman Abdul Wahab berkata, sebaik menerima maklumat mengenai kematian penyu itu pegawainya dikerahkan ke lokasi untuk menjalankan siasatan.
"Pegawai kami telah ke lokasi kejadian hari ini untuk mengesahkan penemuan terbabit," katanya menerusi aplikasi WhatsApp.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!