PH Pulau Pinang tak tergugat, kata Ketua Menteri

Gambar pertemuan lima ADUN pembangkang bersama Muhyiddin tular sejak semalam.
Gambar pertemuan lima ADUN pembangkang bersama Muhyiddin tular sejak semalam.
A
A
A

GEORGETOWN - Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang tidak tergugat dengan usaha wakil rakyat pembangkang di negeri ini yang cuba untuk menjatuhkan kerajaan negeri.

Sebaliknya PH Pulau Pinang masih teguh dengan mandat dan sokongan majoriti dan akan terus mentadbir negeri ini dengan sebaiknya.

Itu reaksi Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengenai usaha yang dilakukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang termasuk dua daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika ini.

Menurutnya, pihaknya sedia maklum dengan pertemuan kumpulan ADUN berkenaan bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya, yang dilapor berlangsung semalam, dan sedang menunggu laporan lanjut daripada PKR Pulau Pinang untuk tindakan seterusnya.

"Apa yang dilakukan oleh mereka langsung tidak menjejaskan keutuhan PH di negeri ini yang kini terdiri daripada gabungan DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah).

"Kita tunggu tindakan yang akan diambil oleh PKR terhadap ADUN mereka yang terlibat dengan pertemuan semalam sebelum PH Pulau Pinang membuat keputusan untuk mengambil tindakan terhadap mereka," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu tular gambar pertemuan lima ADUN Pulau Pinang bersama Muhyiddin yang dipercayai diadakan di Putrajaya semalam.

Lima ADUN berkenaan terdiri daripada dua daripada PKR, Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya) dan Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), dua daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifli Md Lazim (Teluk Bahang) serta seorang daripada Pas, Mohd Yusni Mat Piah (Penaga).

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Majlis Pimpinan PH memutuskan untuk melucutkan kelayakan dua ADUN Bersatu sebagai ahli kerajaan PH dan segala hak dan kelayakan mereka sebagai ADUN kerajaan negeri dibatalkan serta-merta.

Tindakan sama turut dikenakan terhadap ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin yang pada masa ini digantung keahliannya oleh PKR.

Bagaimanapun tiada tindakan yang diambil setakat ini terhadap ADUN Sungai Acheh yang kebelakangan ini dilihat mesra dengan kerajaan Perikatan Nasional.

Sementara itu, pemangku Pengerusi PKR Pulau Pinang, Muhammad Bakhtiar Wan Chik ketika dihubungi Sinar Harian berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara ini dalam masa terdekat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!