Tujuh SMAN Perak mulakan sesi persekolahan

Semua pelajar perlu merekod suhu masing-masing sebelum dibenarkan masuk ke dalam kelas masing-masing.
Semua pelajar perlu merekod suhu masing-masing sebelum dibenarkan masuk ke dalam kelas masing-masing.
A
A
A

IPOH - Tujuh buah Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Perak memulakan sesi persekolahan melibatkan seramai 381 pelajar Tingkatan Lima dan Enam dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan hari ini.

Sekolah-sekolah yang terlibat ialah Sekolah Raja Perempuan Ta'ayah, Sekolah Izzuddin Shah, Sekolah Raja Dr Nazrin Shah, Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) Kerian, SMTDR Batang Padang, SMTDR Manjung dan SMTDR Hulu Perak.

Exco Agama Islam dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, sesi persekolahan tersebut dilaksanakan mengikut garis panduan Kementerian Pendidikan melibatkan pengurusan am, prasarana, asrama serta pengajaran serta pemudahcaraan (PdPc) sebelum sesi persekolahan.

"Sekolah di bawah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) ada tujuh buah dan hari ini semua mula beroperasi. Secara keseluruhannya saya amat berpuas hati dengan persiapan yang dibuat oleh pihak sekolah dengan mengikut SOP disediakan oleh Kementerian Pendidikan dan pemantauan telah bermula semalam lagi. Sebagai contoh kelas Tingkatan Lima sebelum ini empat kelas dijadikan sebanyak tujuh kelas untuk memastikan penjarakkan sosial dipatuhi.

"Pihak sekolah juga telah memastikan asrama bersih dan selamat. Beberapa persediaan juga telah dibuat oleh pihak warden antaranya menyediakan alat pengimbas suhu, pensanitasi tangan, sabun pencuci dan buku rekod suhu," katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Raja Perempuan Ta'ayah, di sini hari ini.

Mohd Akmal memeriksa suhu pelajar daripada asrama sebelum mereka dibenarkan masuk ke dalam kelas pada hari pertama sesi persekolahan hari ini.
Mohd Akmal memeriksa suhu pelajar daripada asrama sebelum mereka dibenarkan masuk ke dalam kelas pada hari pertama sesi persekolahan hari ini.

Hadir sama pada lawatan tersebut, Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin.

Sementara itu, bagi pelajar Tingkatan Lima Sekolah Raja Perempuan Ta'ayah, Nurul Huda Abdul Hadi, pembukaan semula sekolah pada hari ini sedikit kekok dengan pelaksanaan SOP baharu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, dia tetap gembira kerana dapat bertemu dengan rakan-rakan yang sudah lebih tiga bulan bertemu akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Saya gembira sebab dapat jumpa kawan-kawan walaupun perlu ikut SOP sebab kita masih ada penjarakkan yang perlu dijaga. Malah kami masuk sekolah semalam pun kena jaga semua itu dengan pengawasan cikgu.

"Mungkin perkara ini baharu dan agak susah nak ikut tapi memikirkan kesihatan lebih penting, jadi kita kena ikut SOP," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pelajar Tingkatan Lima, Amiratul Husna Mohd Husni berkata, dari satu sudut memang dia dapat melepaskan rindu dengan kawan-kawan apabila sekolah dibuka hari ini.

Namun katanya, perkara penting yang terpaksa mereka fikirkan kini adalah tempoh masa yang singkat sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Saya rasa macam dah tak ada masa sangat dah, jadi terpaksalah berjauhan dengan keluarga dan abaikan sementara tugas-tugas lain untuk fokus kepada SPM.

"Dari segi hubungan dengan rakan-rakan, memang rasa sedih sebab tak boleh nak duduk rapat-rapat macam dahulu tapi sebab memikirkan keadaan kesihatan sekarang dan tak nak nasi jadi bubur, kita perlu akur dengan SOP ini kerana kami tak nak kehilangan orang tersayang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!