Pelajar teruja dapat kembali ke sekolah
KUALA TERENGGANU - Teruja dan bersemangat untuk ke sekolah, itu antara reaksi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman di sini yang mula kembali ke sekolah setelah hampir tiga bulan 'bercuti' susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.
Pada hari ini seramai 410 pelajar sekolah itu yang terdiri daripada 196 pelajar Tingkatan Lima dan 214 pelajar Tingkatan Enam mula mengikuti sesi pembelajaran di kelas dengan berpandukan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Seorang pelajar yang ditemui, Ahmad Aslam Zakaria, 17, berkata, walaupun terpaksa bersekolah dalam suasana baharu, ia sudah cukup menggembirakannya.
"Pergi sekolah lebih baik sebab memang bosan apabila duduk di rumah lama-lama. Walaupun belajar secara 'online', suasananya berbeza.
"Apatah lagi saya akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, belajar secara berdepan lebih mudah untuk faham terutamanya subjek-subjek sukar," katanya ketika ditemui Sinar Harian hari ini.
Nurul Aisyah Syakirah Rusli, 17, turut berkongsi pandangan yang sama dan melahirkan perasan gembiranya dapat berjumpa semula guru-guru dan rakan sekolah.
Menurutnya, sesi pembelajaran akan menjadi lebih seronok dan mudah difahami apabila dapat berinteraksi secara langsung dengan guru.
"Tapi dalam seronok ke sekolah, saya tetap ingat pesanan mak supaya sentiasa jaga jarak dan pergaulan kerana wabak Covid-19 ini masih ada dan kita belum bebas sepenuhnya," katanya.
Rakannya, Muhammad Hafiz Firdaus Marzuki, 17, menzahirkan rasa kesyukuran kerana dapat bersekolah seperti biasa.
"Suasana pembelajaran secara online dan di rumah agak sukar bagi saya, apatah lagi saya akan menduduki SPM. Jadi bila dapat bersekolah semula rasa amat lega," katanya.
Difahamkan, sebanyak 15 kelas Tingkatan Lima dan 13 kelas Tingkatan Enam dibuka di SMK Sultan Sulaiman dengan setiap kelas mempunyai antara 10 hingga 24 pelajar bergantung kepada keluasan kelas dan jarak sosial selamat sekurang-kurangnya satu meter.
Bagi waktu rehat pula, terdapat tiga sesi dan dibuat secara bergilir-gilir manakala pelajar boleh membeli makanan di kantin secara bungkus.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!