UPM duduki tangga ke-10 terbaik dunia
SHAH ALAM - Universiti Putra Malaysia (UPM) dinobatkan sebagai universiti pertama di negara ini yang tersenarai di tangga ke-10 terbaik dunia dalam kedudukan 'QS 2021 World University Rankings 50 Under 50' berbanding tangga ke-12 tahun lalu.
Memetik laporan BH Online, Naib Canselornya, Profedor Datuk Dr Aini Ideris, berkata, senarai itu menunjukkan peningkatan berterusan selama lima tahun berturut-turut, sekali gus membolehkan UPM mengekalkan kedudukan sebagai universiti muda terbaik di Malaysia.
Beliau berkata, penilaian 'QS Top 50 Under 50' menggunakan enam indikator yang sama seperti penilaian 'QS World University Ranking' berkaitan penilaian universiti, akademik serta fakulti.
"Pencapaian yang membanggakan ini membuktikan UPM mampu meraih kecemerlangan, reputasi dan penjenamaan imej setanding dengan universiti lain yang lebih awal ditubuhkan.
"Kejayaan ini turut menyaksikan prestasi UPM naik hampir semua indikator yang dinilai dengan indikator pelajar antarabangsa meraih markah tertinggi.
"Ini selari dengan usaha UPM memperkukuhkan kerjasama antarabangsa melalui pelbagai program antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, kejayaan demi kejayaan yang direkodkan dalam penilaian badan antarabangsa membuktikan UPM berada pada landasan betul dalam menyediakan pendidikan tinggi terbaik kepada pelajar tempatan dan antarabangsa.
"Ia juga selari dengan dengan visi UPM, iaitu menjadi sebuah universiti bereputasi antarabangsa. Prestasi yang cukup memberangsangkan ini hasil kerjasama dan komitmen warga UPM yang beriltizam untuk meletakkan universiti pada kedudukan terbaik di dunia.
"Pencapaian ini juga menaikkan lagi semangat warga UPM untuk terus mengorak langkah bagi mencapai aspirasi dan sasaran Putra Global 100 (PG100) iaitu menjadi 100 universiti terbaik dunia dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya.
Aini berkata, Pelan Strategik 2021-2025 dan Pelan Transformasi Melangkaui 2025 yang sedang dirangka bakal menjadi platform penting yang akan meneruskan legasi kecemerlangan UPM di persada antarabangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!