KRT jangan berlagak hero
TOK RANDOK - Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di negeri ini diingatkan tidak bersikap sebagai hero sebaliknya perlu sentiasa bergerak seiring bersama entiti atau agensi lain dalam mengadakan sesuatu aktiviti.
Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Terengganu, Burhanuddin Daud berkata, kerjasama sedemikian sebagai nilai tambah yang dapat berikan lebih manfaat kepada komuniti.
"Kita galakkan selepas ini KRT ada 'smart partnership', jangan buat sendiri...hendak jadi hero, tinggalkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), belia dan masjid dalam setiap aktiviti atau program diadakan.
"Jangan hendak tunjuk siapa lebih hebat sebaliknya setiap KRT perlulah bergerak bersama dengan pihak-pihak lain, wujudkan jalinan kerjasama dengan semua agensi yang ada.
"Selain itu, KRT perlu lipat gandakan penglibatan orang muda termasuk dalam Skim Rondaan Sukarela yang kini masih dibarisi orang-orang lama. Langkah ini bagi lahirkan pelapis di masa akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika program Malam Jasamu Dikenang di Markas Taktikal KRT/ SRS Kampung Tok Randok, di sini, malam kelmarin yang merupakan tahun ketiga penganjuran.
Beliau berkata, komuniti KRT juga diharap dapat memanfaatkan sebaik mungkin kemudahan teknologi untuk uar-uarkan aktiviti diadakan kepada masyarakat luar sekali gus sebar luaskan perpaduan.
Sementara itu, Pengerusi KRT Tok Randok, Mejar (B) Abd Aziz Mamat berkata, penganjuran program Malam Jasamu Dikenang itu satu inisiatif pihaknya menghargai mereka yang banyak menabur bakti bagi gerakkan KRT dan SRS Tok Randok.
"Semangat perpaduan dan kekitaan dalam kalangan komuniti dapat ditingkatkan lagi melalui penganjuran program. Sebagai contoh, pada Disember lalu KRT Tok Randok adakan gunting rambut percuma kepada kanak-kanak.
"Kita juga telah susun atur pelbagai aktiviti untuk dilaksanakan dari semasa ke semasa, antaranya Program Jom Ronda pada Februari nanti serta Pencegahan Dadah yang dijadualkan pada Mac akan datang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!