JPN Pulau Pinang tetapkan KPI elak 'kluster sekolah'

Abdul Rashid (tiga dari kanan) memberi penerangan kepada salah seorang pelajar mengenai pematuhan SOP di sekolah.
Abdul Rashid (tiga dari kanan) memberi penerangan kepada salah seorang pelajar mengenai pematuhan SOP di sekolah.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) tersendiri bagi memastikan tiada jangkitan wabak koronavirus (Covid-19) dalam kluster sekolah di negeri ini.

Pengarahnya, Abdul Rashid Abdul Samad berkata, semua 128 sekolah di Pulau Pinang telah diberi penerangan jelas mengenai garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum dibenarkan beroperasi bermula hari ini.

Menurutnya, setiap sekolah juga mempunyai 'pelan B' sekiranya keadaan cuaca tidak mengizinkan dalam memastikan pematuhan SOP yang ditetapkan dapat dipatuhi sejak dari awal pelajar datang ke sekolah.

"JPN dan semua pejabat pendidikan daerah di negeri ini telah melakukan persiapan rapi bagi memastikan semua garis panduan dipatuhi.

"Alhamdulillah pembukaan semula sesi persekolahan di kesemua sekolah menengah di negeri ini hari ini berjalan dengan lancar," katanya selepas membuat pemantauan di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Tun Uda di sini pagi tadi.

Abdul Rashid memberi penerangan kepada pelajar mengenai SOP yang perlu dipatuhi sepanjang berada di sekolah.
Abdul Rashid memberi penerangan kepada pelajar mengenai SOP yang perlu dipatuhi sepanjang berada di sekolah.

Beliau turut meninjau keadaan kelas serta kantin selain bilik isolasi yang disediakan di sekolah berkenaan pagi.

Abdul Rashid berkata, pihaknya turut menempatkan pegawai penguatkuasa di setiap sekolah bagi memastikan semua warga sekolah mematuhi SOP.

Artikel Berkaitan:

"Pegawai penguatkuasa akan memantau bermula dari pelajar menjejakkan kaki di depan pintu sekolah, dalam kelas, pada waktu rehat sehinggalah mereka pulang ke rumah masing-masing," katanya.

Abdul Rashid berkata, bagi fasa pertama pembukaan sekolah hari ini melibatkan seramai 18,800 pelajar Tingkatan Lima dan 2,200 pelajar Tingkatan Enam di seluruh Pulau Pinang.

Salah seorang pelajar sedang melakukan saringan suhu sebelum dibenarkan masuk ke dalam kawasan sekolah.
Salah seorang pelajar sedang melakukan saringan suhu sebelum dibenarkan masuk ke dalam kawasan sekolah.

Katanya, semua pelajar, guru dan kakitangan sekolah disarankan hadir ke sekolah lebih awal berikutan perlu melakukan saringan suhu sebelum masuk ke sekolah.

"Setiap kelas juga dihadkan hanya 18 orang pelajar dan mereka akan berehat dengan menikmati makanan di dalam kelas masing-masing.

"Setiap pagi guru-guru akan memberi peringatan kepada pelajar mengenai pematuhan SOP sebelum memulakan sesi pembelajaran dan ini norma baharu yang perlu disesuaikan oleh semua warga sekolah," katanya.

Katanya, setiap sekolah dibekalkan dengan dua set pakaian pelindung diri (PPE).

"Sekiranya terdapat murid yang tidak sihat mereka perlu diasingkan dan tidak dibenarkan masuk ke dalam kelas," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!