'Malam itu saya hanya tidur sejam, memang menguji...'
PEKAN - Aktiviti kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini yang memasuki hari kelima mengubah rutin harian calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zin.
Menurutnya, beliau kini terpaksa mengorbankan waktu rehat dan tidurnya bagi memastikan gerak kerja kempen yang diatur berjalan lancar.
Beliau berkata, pada hari kedua kempen beliau tidak dapat tidur kerana memikirkan cabaran berat yang dilalui sepanjang tempoh berkempen hingga hari pengundian pada 4 Julai ini.
"Malam itu saya hanya tidur sejam sahaja. Sebagai orang baru yang bertanding dalam pilihan raya ia cukup menguji mental dan fizikal.
ARTIKEL BERKAITAN: Mohd Sharim mahu teruskan legasi mentor
PRK DUN Chini: Mohd Sharim Md Zain dipilih calon BN
"Saya perlu memikirkan apa perkara yang perlu dibuat dan terbaik pada PRK ini agar dapat meyakinkan pengundi," katanya yang turut mengakui mengambil makanan tambahan bagi memastikan kekal sihat dan cergas sepanjang tempoh berkempen yang berbaki lapan hari lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan lawatan bersama Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan ke Pasar Awam Chini, Bandar Dara di sini pagi tadi.
Mohd Sharim berkata, selepas beberapa hari berkempen beliau sudah mendapat rentak dan semua aktiviti kempen yang dirancang berjalan lancar mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
"Kalau sebelum ini agak kekok lebih-lebih lagi sebagai anak tempatan yang dikenali, ramai bila jumpa masing-masing pakat hulur tangan hendak bersalaman.
"Alhamdulillah hasil penjelasan diberikan pengundi mula akur dan patuh kepada SOP termasuk mengamalkan penjarakkan sosial," katanya.
Beliau berkata, aktiviti kempen diteruskan termasuk dari rumah ke rumah selain melalui media sosial.
Dalam pada itu, Mohd Sharim Md Zin berkata, beliau melihat sasaran 95 peratus undi pada PRK kali ini satu cabaran cukup besar.
Menurutnya, sasaran itu juga memerlukan kerjasama baik semua jentera Muafakat Nasional daripada UMNO dan Pas bagi memastikan kemenangan dengan majoriti lebih besar.
"Sasaran diletakkan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak ini untuk kita dapat 95 peratus daripada keseluruhan undi.
"Walaupun harapan kita untuk dapat majoriti yang besar namun kempen PRK ini tetap diteruskan.
"Kita akan teruskan kempen dan pemimpin Pusat juga akan hadir dengan program masing-masing di Chini ini," katanya.
Pada 8 Jun lalu, Najib yang juga bekas Perdana Menteri menzahirkan rasa keyakinan dengan kerjasama UMNO dan Pas menerusi Muafakat Nasional, calon BN mampu meraih lebih 95 peratus undi pada PRK Chini ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!