Pembantu kantin maut sebelum sampai sekolah
MELAKA TENGAH - Seorang pembantu kantin tidak sempat memulakan tugasnya pada hari pertama pembukaan semula sekolah hari ini apabila maut dalam kemalangan di persimpangan Jalan Tun Kudu, Bukit Katil di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian lebih kurang jam 5.45 pagi, Balkis Nursyaza Abdul Razak, 27, yang bekerja di kantin Sekolah Kebangsaan Tun Razak meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala serta beberapa anggota badan.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Hasan Basri Yahya, berkata, kemalangan berlaku apabila kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu mangsa dari arah Tiang Dua/Tambak Paya bertembung dengan sebuah lagi kereta jenis Suzuki Swift dipandu warga emas, Ong Hing Kiaw, 62, dari arah Tehel.
"Akibat rempuhan itu, kedua- dua kenderaan terbabit terbalik.
"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala Hing Kiaw cedera parah dan telah dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Setakat ini tiada saksi yang tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan.
"Lokasi kejadian pula tiada kamera litar tertutup (CCTV)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!