Kerajaan PN digesa lebih radikal jayakan WKB 2030
KUALA LUMPUR - Kerajaan Perikatan Nasional (PN) lebih radikal menjayakan agenda Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 bagi mengubah ekonomi negara dan pencapaian ekonomi orang Melayu dan bumiputera selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman berkata, WKB 2030 hanya akan tinggal wawasan dan angan-angan kosong jika tidak diterjemahkan menjadi pelan tindakan di dalam program-program perlaksanaan termasuk Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan RMK13.
Menurutnya, beberapa perkara dalam dokumen WKB 2030 sedia ada perlu dikemaskini kerana sasaran pemerkasaan ekonomi bumiputera adalah tidak lengkap atau belum cukup.
"Jika tidak diperhalusi, strategi ekonomi ini akan menjadi tidak bermakna malah menjadi sebuah retorik apatah lagi jika ia sepatutnya menjadi strategi utama untuk kepentingan ekonomi Melayu dan bumiputera.
"Pelbagai pembangunan ekonomi strategik perlu diperhebatkan supaya lebih memberi kesan jangka panjang selain program untuk impak jangka pendek kepada kedudukan ekonomi orang Melayu dan bumiputera.
"Dasar-dasar ini seterusnya harus dilaksanakan oleh seluruh jentera kerana agenda ekonomi bumiputera hanya akan menjadi alat politik semata-mata untuk taruhan setiap pilihan raya atau 'political sloganeering' jika kerajaan tiada kesungguhan luar biasa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Yazid turut menggesa PN menyediakan perancangan konkrit bagi mengangkat ekonomi Melayu.
Menurutnya, gesaan itu dikemukakan susulan pihaknya melihat belum ada sebarang tindakan konkrit direncana sehingga kini bagi memastikan agenda bumiputera terus diperjuangkan.
Selain itu, beliau menegaskan MTEM turut melihat masalah sistematik yang membantutkan pembangunan ekonomi Melayu dan bumiputera masih wujud pada jangka masa panjang.
"MTEM menyanjung tinggi usaha kerajaan menangani koronavirus (Covid-19) dan pakej rangsangan bagi memulihkan ekonomi negara.
"Namun melihat pada jangka masa panjang, MTEM berpendapat masalah sistematik yang membantutkan pembangunan ekonomi Melayu dan bumiputera masih wujud seperti biasa dan belum ada tindakan konkrit oleh kerajaan ini.
"Demi kelestarian negara, usaha agenda bumiputera perlu terus diperjuangkan untuk pastikan kemakmuran dan pembangunan dikecapi bersama secara saksama dan adil," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Ahmad Yazid menegaskan MTEM menolak pendapat yang mahu kerajaan tidak mengambil peranan utama dalam ekonomi negara.
Cuma beliau menjelaskan MTEM berpandangan kedudukan ekonomi bumiputera masih belum boleh dibanggakan selepas 50 tahun dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan.
"Mengikut data terkini, kebanyakan daripada bumiputera umumnya adalah hanya pekerja dan pengguna. Justeru mereka umumnya bukan majikan atau penjana pekerjaan.
"Kita menuntut kerajaan untuk mempunyai semangat dan keberanian untuk benar-benar memperjuangkan agenda ekonomi Melayu dan bumiputera seperti waktu zaman Tun Abdul Razak dahulu pada tahun 70-an," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!