Selangor catat 96.93 peratus kehadiran ke sekolah
SHAH ALAM - Selangor mencatatkan sebanyak 96.93 peratus kadar kehadiran ke sekolah bagi Tingkatan Lima dan Enam pada hari ini.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS), Izmi Ismail berkata, peratusan tersebut merangkumi jumlah keseluruhan kehadiran pelajar Tingkatan Lima dan Enam hari ini iaitu seramai 70,310 pelajar.
"Untuk negeri Selangor terdapat 65,067 pelajar Tingkatan Lima, dan jumlah yang hadir adalah sebanyak 62,940 manakala untuk Tingkatan Enam yang hadir ke sekolah adalah seramai 4,770 daripada 5,068 pelajar.
"Setakat pemantauan yang dijalankan, semua sekolah yang terlibat telah mengikuti dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, pegawai pemantau daripada Pejabat Pendidikan Daerah dan JPNS akan ditempatkan di setiap sekolah menengah yang membuka semula sesi persekolahan hari ini bagi memantau dan memastikan SOP dipatuhi.
"Secara keseluruhannya SOP yang ditetapkan seperti penjarakan sosial, suasana di kantin, kelas dan sebagainya diikuti. Namun, masih ada yang kita boleh perbaiki," katanya.
Menurutnya, langkah dan tindakan pantas akan diambil sekiranya ada pelajar yang didapati bergejala seperti batuk, demam dan selesema.
"Dari awal memang kita nasihatkan ibu bapa sekiranya anak mereka bergejala jangan hantar ke sekolah.
"Sekiranya pelajar awal tak demam, tapi di sekolah suhu dia tinggi contohnya atau bergejala, kita akan tempatkan di bilik isolasi atau pengasingan dan akan hubungi ibu bapanya untuk bawa pulang.
"Jika serius kita akan hubungi Pejabat Kesihatan Daerah untuk tindakan selanjutnya dan masa sama akan hubungi ibu bapa pelajar terbabit," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!