Tasik Chini perlu diberi nafas baharu, kata Mohd Sharim

Mohd Sharim
Mohd Sharim
A
A
A

PEKAN - Banyak aset-aset yang ada di sekitar Tasik Chini di sini boleh diketengahkan sebagai produk pelancongan untuk menarik lebih ramai pelancong ke destinasi itu.

Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zin berkata, Pusat Pelancongan Tasik Chini yang ditutup sejak November tahun lalu perlu diberi nafas baharu dengan pelbagai bentuk tarikan bukan hanya keindahan alam semula jadinya semata-mata.

"Saya ambil maklum berhubung perkara ini, justeru perbincangan akan dilakukan dengan pihak-pihak yang berkepentingan dalam sektor pelancongan agar Tasik Chini dihidupkan kembali sebagai destinasi pilihan pelancong di negeri ini.

"Kita akan lihat dan mengkaji segala kekuatan dan kelemahan yang ada di situ (Tasik Chini) sebelum merangka langkah pembangunan yang sesuai pada masa akan datang," katanya ketika ditemui selepas melawat Bilik Gerakan Pas di Felda Chini 4.

Mohd Sharim berkata, Tasik Chini perlu dihidupkan semula dengan pelbagai aktiviti termasuk menyediakan tapak kem perkhemahan dan sebagainya.

Terdahulu Exco Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, langkah menghentikan aktiviti perlombongan, melaksanakan program pemulihan yang luas dan membina chalet konsep mesra alam antara inisiatif untuk membantu mengembalikan kegemilangan Tasik Chini.

Beliau berkata, kerajaan Pahang sedang mengkaji langkah-langkah untuk memperkenalkan rancangan komprehensif untuk menghidupkan semula tasik air tawar kedua terbesar di negara itu.

"Sudah tiba masanya untuk kita melihat perkara ini dari perspektif yang lebih besar dan menyusun rancangan baru untuk memberi permulaan baru kepada tasik bersejarah ini.

Artikel Berkaitan:

"Rancangan jangka panjang termasuk menghentikan aktiviti perlombongan dan menanam semula pokok di kawasan yang terjejas akibat aktiviti perlombongan.

"Keutamaannya kita bagi menjaga ekopelancongan dengan membangun lebih banyak chalet mesra alam di dekat tasik dan memperkenalkan lebih banyak aktiviti air termasuk aktiviti memancing," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!