Penduduk serbu rumah didiami dua pasangan kekasih

Sebahagian daripada anggota dan penduduk kampung yang menyertai serbuan di rumah didiami dua pasangan kekasih berkenaan. (Foto ihsan SRS KRT Teluk Ketapang)
Sebahagian daripada anggota dan penduduk kampung yang menyertai serbuan di rumah didiami dua pasangan kekasih berkenaan. (Foto ihsan SRS KRT Teluk Ketapang)
A
A
A

KUALA NERUS - Rahsia dua pasangan kekasih yang tinggal serumah sejak setahun lalu terbongkar selepas sebuah rumah di Taman Perumahan Telaga Daing, di sini, diserbu hampir 30 penduduk kampung termasuk wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Ahad lalu.

Serbuan kira-kira jam 10 malam itu turut membabitkan wakil daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Perumahan Telaga Daing, Skuad Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Teluk Ketapang, penghulu mukim dan anggota dari Balai Polis Gong Badak, di sini.

Ketua Skuad SRS, KRT Teluk Ketapang, Zainuddin Awang berkata, semasa serbuan, didapati hanya tiga individu berada di dalam rumah iaitu dua lelaki bersama seorang wanita berstatus ibu tunggal.

"Bagaimanapun, sejurus menyedari kehadiran kami, salah seorang lelaki dipercayai pemilik rumah berkenaan terus melarikan diri dengan keluar ikut pintu belakang dan meninggalkan dua rakannya.

"Hasil soal siasat ke atas dua individu yang berada di dalam rumah itu, mereka mengaku sebagai pasangan kekasih dan tinggal bersama dua lagi rakan iaitu lelaki yang melarikan diri sebelum ini serta kekasihnya yang secara kebetulan keluar membeli barang semasa serbuan.

"Siasatan seterusnya mendapati wanita berusia 30-an itu berasal dari kampung bersebelahan dan mengaku lari dari rumah semata-mata hendak tinggal bersama kekasihnya itu sebelum dihantar pulang ke rumah keluarganya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Zainuddin, pasangan itu bagaimanapun hanya diberi nasihat dan pihaknya memberi amaran tegas untuk mengambil tindakan sekiranya mereka masih berdegil dan mengulangi kesalahan sama.

"Sebelum ini, rumah tersebut memang pernah diserbu dan serbuan ini merupakan kali kedua dilakukan di lokasi itu.

Artikel Berkaitan:

"Semasa serbuan pertama, hanya melibatkan beberapa anggota penguat kuasa.

"Jadi mungkin tidak memberi kesan kepada mereka dan diharap kali ini, serbuan dibuat dalam kumpulan yang ramai mengundang rasa takut mereka dan serik untuk melakukan aktiviti tidak bermoral ini lagi," katanya.

Serbuan berakhir jam 10.45 malam itu turut melibatkan anggota daripada Skuad Amal Makruf, Briged Keselamatan dan Jiran Wanita Teluk Ketapang serta Kampung Baru, di sini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!