Hudud, qisas dan takzir akan diteruskan: Pas

Kamaruzaman Mohamad
Kamaruzaman Mohamad
A
A
A

SHAH ALAM - Pas akan meneruskan langkah ke arah memartabatkan undang-undang Islam melibatkan hudud, qisas dan takzir yang telah berjaya melalui beberapa proses berkaitan undang-undang tersebut sebelum ini.

Ketua Penerangannya, Kamaruzaman Mohamad berkata, sebelum dijajah Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun, rantau Nusantara ini telah berdaulat dengan melaksanakan sepenuhnya undang-undang Islam.

Menurutnya, untuk melaksanakan agenda itu memerlukan satu platform yang benar-benar stabil selain kefahaman yang baik oleh rakyat.

“Undang-undang Islam di Kelantan dan Terengganu yang diluluskan dah pun ditandatangani oleh Tuanku Sultan Kelantan dan juga Sultan Terengganu.

"Kemudian kita ada sedikit kekangan di peringkat undang-undang kerajaan Pusat yang mana ianya mengekang pelaksanaan Undang-undang Islam ini.

“Contohnya dari sudut undang-undang sebatan 100 sebatan, undang-undang yang untuk memotong tangan dan sebagainya yang tiada, yang tidak diberikan ruang dalam Undang-undang Persekutuan Perlembagaan.

“Jadi, untuk membolehkan ianya dilaksanakan, ianya berjalan serentak di antara proses memberikan pendidikan kepada rakyat dan juga menyediakan infrastruktur untuk melaksanakan undang-undang ini,” katanya.

Beliau yang dipetik Harakahdaily berkata demikian pada program Bicara Harakah 3.0 membincangkan tajuk "100 Hari Perikatan Nasional" yang bersiaran langsung atas talian di Facebook HarakahTV malam tadi.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang pernah membawa bil persendirian ke Parlimen iaitu RUU355 di mana ia satu usaha bersepadu dengan kerajaan BN masa itu sebagai dimensi baharu untuk melaksanakan Undang-undang Syariah.

Menurut Kamaruzaman, usaha itu untuk meningkatkan tahap hukuman yang dibenarkan di Mahkamah Syariah di mana selama ini Enakmen Jenayah Syariah tidak dapat dilaksanakan dengan sepenuhnya di akibat kekangan berkenaan.

“Maka bil persendirian telah dibawa, telah dibentangkan, cuma belum dibahaskan. Jadi insya-ALLAH, saya yakin RUU355 ini akan menjadi satu agenda di dalam Sidang Parlimen apabila sampai masanya.

“Sebenarnya RUU355 inilah yang akan menjadi asas kepada pelaksanaan Undang-undang Syariah. Jadi, kita nantikan, dan akan ada berita baik kepada umat Islam yang saya yakin mereka sangat menantikan.

“(Umat Islam mahu) supaya Undang-undang Syariah ini dapat dilaksanakan sebaik mungkin di bumi Malaysia ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!